AWANI-RareTV: Melawat pintu sempadan negara tertinggi di dunia

RareTV
Mei 19, 2024 18:38 MYT
Gerbang yang menjadi penanda pintu sempadan antara negara Pakistan dan China ini menjadi laluan lintasan antarabangsa tertinggi di dunia. - RareTV
APABILA kami ke Pakistan, salah satu destinasi wajib dikunjungi adalah Khunjerab Pass, satu laluan pergunungan di Banjaran Karakoram yang menghubungkan laluan perdagangan antara Pakistan dan China.
Laluan ini hanya dibuka pada musim panas sekitar April sehingga penghujung Oktober bergantung pada keadaan cuaca, lantaran ia terletak di puncak gunung dan pada pintu sempadan antara kedua-dua negara.
Ketinggiannya sudah mencecah sehingga 4,693 meter dari aras laut, lebih tinggi dari puncak Gunung Kinabalu (4,095 meter).
Walaupun lebih tinggi daripada puncak Kinabalu, tidak perlu risau dengan situasi mabuk gunung (mountain sickness) kerana lazimnya, pengunjung akan naik ke lokasi ini dari Lembah Hunza yang kedudukannya sudahpun pada ketinggian 2,438 meter.
Perjalanan ke Khunjerab Pass juga adalah dengan menaiki kereta secara santai, maka tidak terasa pergerakan mendaki yang secara mendadak. Cuma apabila berada di atas Khunjerab pass, dinasihatkan agar jangan terlebih teruja dengan meloncat atau berlari ke sana dan ke sini kerana udaranya nipis dan mudah membuatkan seseorang tercungap.
Kru RareTV yang tiba di lokasi bersantai sahaja menikmati keajaiban landskap puncak pergunungan Karakoram. Lebih unik, di situ juga terletaknya ATM tertinggi di dunia... bolehlah cuba merasai pengalaman mengeluarkan duit di ketinggian 4,693 meter.
Jika lawatan dibuat pada musim panas, lapangan rumput hijau seluas mata memandang berlatar belakang puncak gunung bersalji akan menemani.
Di lapangan rumput itu juga akan terlihat ratusan yak ternakan penduduk tempatan yang dilepaskan ke puncak untuk mendapatkan rumput segar. Kawanan yak itu akan tinggal di atas gunung ini sehinggalah musim sejuk tiba dan mereka akan kembali ke kampung semula.
Pada sekitar bulan Oktober, salji sudah mula turun dan hamparan putih sehingga ke puncak terlihat di kiri kanan. Pastikan membawa pakaian tebal kerana cuaca akan berubah menjadi sejuk yang ketara. Namun, yang paling ditakuti adalah tiupan anginnya yang membuatkan kita 'membeku' separuh nyawa bila ia datang.
Walaupun begitu, keindahan dan keunikan landskap di puncak ini memang indah dan menakjubkan. Satu pengalaman sekali seumur hidup yang wajib dicuba.
Begitulah salah satu pengalaman dari kembara kami ke utara Pakistan, satu daerah yang dahulunya tidak pernah dikenali dan dikongsikan kepada komuniti pengembara Asia, namun menjadi kegilaan ramai pengembara Barat.
Semoga perkongsian kami di RareTV membuatkan keindahan tempat ini lebih dikenali ramai dan setiap tahun Rarecation membuat lawatan ke destinasi ini. Lihat lebih lanjut pengalaman kembara kami di YouTube RareTV.
Kita berjumpa lagi nanti di dalam artikel seterusnya.
* Artikel oleh Syibli Fakih, RareTV
#raretv #Pakistan #khunjerab pass #travel #kembara
;