AWANI-RareTV: Berjalan ke Artik berteman ribuan burung puffin di pulau tersepi Iceland
RareTV
September 10, 2023 10:00 MYT
September 10, 2023 10:00 MYT
NAMA Pulau Grimsey mungkin jarang sekali didengari oleh ramai warga Malaysia. Mungkin kedudukannya secara geografi juga di luar pengetahuan kebanyakan pengembara. Lebih aneh apabila pulau ini yang mempunyai jaringan feri pengangkut penumpang dan kargo setiap hari hanya dihuni oleh 20 orang pada waktu ini.
Kami sempat menjelajah ke pulau sepi ini kerana pulau ini satu-satunya daratan di negara Iceland yang mencecah ke lingkaran Artik. Rarecation bersama sekumpulan pengembara menaiki feri pengangkut yang hanya ada perjalanan sekali sehari pergi balik dari dan ke Pulau Grimsey dari Dalvik.
Untuk ke Dalvik, kami melalui jalan jauh namun indah di Westfjord dari Reykjavik, ibu kota negara Iceland. Hentian terbaik untuk ke sini ialah sebuah bandar kedua terbesar di Iceland bernama Akureyri. Kurang penginapan di Dalvik, sebaiknya terus sahaja lajak hingga ke Akureyri.
Setiba kami di Akureyri, terasa tidak janggal langsung dan terlihat bandar ini seakan-akan biasa dilihat walaupun ini kali pertama kami ke sini. Personanya seperti kota sukan lasak dunia di Queenstown New Zealand. Bezanya hanya bandar Akureyri dipagari dengan fjord Eyjafjörður berbanding Tasik Wakatipu di Queenstown.
Kami sampai di jeti Dalvik awal pagi lagi agar tidak terlepas feri ke Grimsey. Tiada pilihan untuk feri lain kerana jadualnya hanya sekali waktu pagi dari Dalvik ke Grimsey dan petangnya feri ini berlayar pulang ke Dalvik dengan muatan ikan-ikan kod tangkapan nelayan Pulau Grimsey.
Tidak ramai di atas kapal, hanya kami dan beberapa orang pelawat lagi. Satu yang pasti, kami satu-satunya kumpulan dari benua Asia belayar ke Grimsey hari itu. Pelayaran tenang pada satu jam pertama kerana keadaan air di dalam lingkungan fjord tidak terlalu bergelora. Semua ketenangan tadi berubah pada jam kedua selepas kami memasuki laut Greenland yang berombak besar dan berangin kencang. Jawapan terbaik bila dilambung gelora di laut terbuka ini ialah, tidur.
Pelayaran keseluruhan sehala mengambil masa tiga jam dengan kos sekitar RM150 sehala. Alternatif lain, boleh sahaja gunakan pesawat kecil yang terbang dari Akureyri terus ke Pulau Grimsey dengan harga yang pastinya mengoyakkan saku dan kekerapannya juga tidak banyak.
Tujuan utama kami ke pulau ini tidak lain hanyalah untuk pencapaian peribadi melangkau garisan Artik di pulau ini. Pulau ini sepi sangat, ketibaan kami di jeti hanya disambut oleh nelayan-nelayan yang baru pulang dari melaut sedang memunggah ikan-ikan. Terkagum juga melihat nelayan mereka sangat terpelajar dan menggunakan teknologi moden pada kapal-kapal mereka secara lestari. Sekali sekala, kami berselisih dengan pelancong-pelancong dari Eropah dan Amerika Utara yang bermalam di Grimsey.
Ada sebuah kafe berhampiran jeti. Kafe yang bersebelahan dengan sebuah pasar mini, itulah fasiliti awam tunggal di Grimsey.
Kami mengambil kereta api jalan raya yang menggunakan traktor dan menarik gondola membawa penumpang sehingga ke garis Artik. Kami merakamkan foto-foto di situ bersama pengembara-pengembara kami sebelum kami nyatakan kepada mereka bahawa itu ialah garisan Artik yang lama.
Menarik juga bila melihat mereka tercengang-cengang bila mengetahui bahawa garis Artik berubah sejauh 14.5 meter setiap tahun. Kalibrasi terkini telah mengalihkan lingkaran Artik yang baharu sekitar 3 km jauhnya dari tanda yang lama.
Kami gagahkan diri menaiki bukit sebelum sampai perjalanan menurun sehingga ke penanda baharu yang hanya sekitar 200 meter dari laut. Mengikut perkiraan, penanda baharu ini juga akan meninggalkan Iceland keseluruhannya dalam kalibrasi terbaru kurang lima tahun ini.
Perjalanan ke penanda baharu yang juga dikenali sebagai Orbis et Globus sangat menarik sekalipun perlu melalui bukit yang kehijauan rumputnya. Lebih menarik, perjalanan kami di situ diteman oleh ribuan burung puffin yang comel yang menghuni tebing-tebing laut Grimsey. Burung ini secara fitrahnya hidup di atas lautan. Hanya pada musim panas, puffin mencari daratan untuk bersarang dan melakukan urusan reproduksi sebelum kembali ke lautan.
Perjalanan selama hampir satu jam yang selalu berhenti-henti mengabadi foto dan merakam video bersama biri-biri dan puffin buat kami tak terasa penat berjalan kaki sehingga ke sebuah sfera konkrit penanda lokasi garisan Artik.
Terasa seperti memenangi pingat emas dalam olahraga Olimpik bila dapat sampai ke tempat ini. Lagi-lagi apabila mengetahui kami hanyalah segelintir kecil pelawat ke Grimsey yang datang dari Malaysia dan Singapura. Malah gadis satu-satunya pasar mini di Grimsey juga teruja kerana menemui spesies wajah sawo matang yang jarang-jarang terlihat di Grimsey.
Lupa kami nak cerita, sekalipun populasi pulau ini telah menyusut dari 80 orang kepada sekitar 20 orang waktu ini, namun sesiapapun yang kami temui di sini, mereka sangat ramah dan murah senyuman. Perjalanan menarik ini, terasa seperti pulang ke kampung halaman sendiri untuk berhari raya.
Kami pulang dengan pelayaran ke Dalvik petang itu dengan senyuman sampai ke telinga. Puas hati dan sangat bersejarah. Tidak sia-sia bagi Rarecation menjadi satu-satunya dari Malaysia dan Singapura yang menganjurkan pengembaraan sehingga ke hujung dunia Iceland melangkau garis Artik.
Ikuti kami dan video penuh kami serta pelbagai travelog kami ke serata dunia di channel Youtube RareTV. Jumpa lagi minggu hadapan.
Ini Baru Rare!
* Artikel oleh Saiful Nang, RareTV