AWANI-RareTV: Bandar tanpa kereta di atas pergunungan Alps

RareTV
Mac 11, 2023 11:30 MYT
Tidak sedar masa boleh berlalu begitu saja dari pagi hingga ke lewat petang, hanya kerana leka dan seronok bermain salji, membeli-belah dan menikmati suasana bandar yang bersih. - RareTV
ZERMATT, sebuah bandar kecil setinggi 1,600 meter terletak di Switzerland. Salah satu destinasi paling unik team RareTV pernah sampai, ini kerana bandar ini tidak membenarkan sebarang kenderaan yang menggunakan petrol untuk masuk.
Apabila tiba di sini, pilihan mod untuk bergerak adalah sama ada berjalan kaki, menaiki kereta kuda, berbasikal atau menaiki teksi elektrik.
Untuk ke Zermatt, pengunjung perlu menaiki kereta api dari stesen Tasch dan kereta api itu akan membawa penumpang terus ke tengah bandar. Bandar yang telah wujud semenjak abad ke-13 ini asalnya adalah sebuah perkampungan kecil, namun kini ia terkenal sebagai destinasi bermain ski.
Di salah satu puncaknya kita boleh bermain ski merentas Itali dan Swiss pada masa yang sama kerana lokasinya terletak di antara sempadan dua negara ini.
Kebiasaannya, jika cuaca mengizinkan, kami akan ke Gornergrat, iaitu salah satu puncak yang menanti pengunjung dengan pemandangan mempesonakan. Kenangan paling indah untuk disemat dalam ingatan sewaktu di sini adalah semudah menikmati secawan coklat panas sambil menyaksikan keajaiban gunung Matterhorn.
Sepanjang perjalanan ke Gornegrat dengan menaiki kereta api, pengunjung akan dihidangkan dengan pemandangan yang sangat cantik. Lebih menarik, kereta api yang disediakan adalah berkonsep panoramic train.
Tingkap kaca kereta api yang direka bentuk khas itu membolehkan pemandangan dapat dihayati secara optimum. Penumpang dapat melihat perubahan landskap - dari pemandangan rumah dan perkampungan ratusan tahun di Zermatt sehingga ke hamparan salji menghala ke puncak gunung, dengan 'hadiah' terakhir pastinya puncak Gunung Matterhorn yang gah!
Jika ke Switzerland, Zermatt adalah destinasi wajib untuk dilawati. Tidak sedar masa boleh berlalu begitu saja dari pagi hingga ke lewat petang, hanya kerana leka dan seronok bermain salji, membeli-belah dan menikmati suasana bandar yang bersih.
Bagi pencinta seni bina lama, pasti destinasi ini menjadi pembuka mata, khususnya apabila melihat usaha pihak berwajib dan pemilik kediaman dalam memastikan binaan rumah asal mereka terpelihara. Jangan terkejut apabila mengetahui ada sebahagian rumah di kawasan ini usianya melebihi 100 tahun!
#travel #Switzerland #Zermatt #ski #raretv
;