Atasi peraturan 'lockdown': Jurulatih kecergasan Sydney bawa gimnasium ke ruang terbuka

Agensi
September 20, 2021 12:04 MYT
Aktiviti mereka adakalanya dilakukan di bawah naungan khemah atau pergola sekiranya cuaca hujan. - AP
SYDNEY: Aktiviti jurulatih kecergasan yang dikekang perintah sekatan atau lockdown di Sydney membuatkan mereka berfikir kaedah yang khusus.
Ketika aktiviti di ruang tertutup termasuk dalam larangan peraturan baharu bagi mengekang COVID-19, tercetus idea untuk membawa gimnasium ke ruang terbuka - tidak kira di taman awam mahupun di padang luas.
Di kawasan taman pinggir bandar di Rushcutters Bay, pengunjung gimnasium kini dilihat mengangkat beban dan meregang otot di kawasan yang biasanya digunakan oleh mereka yang berjoging atau membawa anjing peliharaan berjalan.
Aktiviti mereka adakalanya dilakukan di bawah naungan khemah atau pergola sekiranya cuaca hujan.
Seorang jurulatih kecergasan, Matt Cook berkata, orang ramai sudah bosan dengan pertemuan di Zoom, dan sebab itulah dia mencari penyelesaian untuk melakukan aktiviti secara bersemuka dengan pelanggannya.
"Ramai jurulatih menawarkan kelas menerusi Zoom. Namun, saya memilih untuk melakukannya secara berdepan dan bersemuka di kawasan lapang," ujarnya kepada AP.
Setiap hari, Cook menyusun kelengkapan dan perkakasannya di Reg Bartley Park seawal jam 5 pagi sejak perintah sekatan pergerakan dikuat kuasa di Sydney penghujung Jun lalu.
Dalam perancangan pihak berkuasa, gimnasium hanya akan dibuka semula dalam beberapa minggu selepas kadar vaksinasi melepasi suatu tahap.
"Saya rasa semua orang teruja untuk kembali ke dalam ruang tertutup. Walaupun melakukan aktiviti di ruang terbuka cukup baik, masih ada beberapa cabaran, salah satunya adalah cuaca," terang Cook.
#gimnasium #perintah sekatan #Sydney #jurulatih kecergasan
;