Asyiknya.... Gunting rambut sambil 'layan' lagu dari piring hitam

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 13, 2020 13:53 MYT
Kebanyakan para pelanggan ke kedai gunting Omar Said menghargai suasana nilai tambah yang ditawarkannya. - Astro AWANI
KEPALA BATAS: Khidmat menggunting rambut sambil dihiburkan dengan alunan lagu dari piring hitam lama menjadi trademark sebuah kedai gunting rambut di Pekan Kepala Batas, Pulau Pinang ini.
Sejak 47 tahun lalu, itulah yang dilakukan seorang tukang gunting warga emas Omar Said, 72 tahun, malah keistimewaan tersebut memberi nilai tambah yang sangat disenangi pelanggannya yang datang dari pelbagai lapisan usia.
Menurutnya yang disapa dengan panggilan Pak Omar, dia masih menyimpan lebih 200 keping piring hitam kebanyakannya lagu era 60-an dan 70-an.
Koleksi piring hitam itu disimpannya sejak berusia 20-an kerana minatnya terhadap lagu lama dan akan memutarkan lagu mengikut permintaan pelanggan.
Lebih menarik, ada juga pelanggan yang mengakui tidak pernah melihat piring hitam dan menyangka lagu diputarkan dari cakera padat. Ternyata hal sebegitu membuatkan perbualan mesra lebih mudah tercetus semasa memberikan khidmat menggunting rambut.
"Pelanggan-pelanggan yang seumur kita la kan (mengenalinya). Yang budak-budak baru tak kenal benda ni. Depa (mereka) kata 'CD (cakera padat) apa besar ni?'
"Saya kata ni bukan CD... inilah orang kata piring hitam. Rekod, orang panggil rekod.. Depa nak, pasanglah... Seronok, bila kita pasang lagu lama, kita teringat masa-masa lama.. memang seronok," ujarnya.
Koleksi lagu lama dalam simpanan Omar membabitkan penyanyi P Ramlee, A Ramlie, L Ramlee, J Mizan, El Suraya dan beberapa lagu Hindustan.
Manakala lagu yang sering diminta pelanggan ialah Do Re Mi, Nujum Pak Belalang, Joget Tari Lenggang, Joget Pura Chendana, Gelang Suasa dan Senandong Kaseh.
Omar memberitahu dia tidak berhasrat menjual koleksi piring hitam dalam simpanannya berikutan instrumen muzik berkenaan tiada lagi di pasaran ketika ini.
Walaupun mungkin ada individu yang menyimpan piring hitam, namun mereka tidak mempunyai alat untuk memainkannya.
"Susah nak dapat pelanggan yang duk mai gunting rambut ni. Yang berumurlah yang saya tanya 'ada tak simpan rekod (piring hitam)'... Takdak. Mungkin dulu depa kata ada, tapi dah player takdak nak pusing atas apa? Depa kata lama-lama rekod budak baling macam tu," kongsi Pak Omar.
Selain tidak berhasrat menjual koleksi piring hitam simpanannya, Omar juga mengalu-alukan sumbangan piring hitam daripada orang ramai untuk diputarkan kepada pelanggannya, khususnya yang meminati lagu lama.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#gunting rambut #piring hitam #Kepala Batas #omar said #shm #weekender
;