Aroma nasi ayam madu lada hitam Mamamia gamit selera

Bernama
Mei 19, 2019 17:10 MYT
Peniaga nasi ayam madu Siti Maisarah Kamaruzaman, 31, menyiapkan juadahnya untuk dijual kepada pelanggan berhampiran Pasar Ramadan Gurun. - Bernama
Ayam yang diperap semalaman dengan kuah dan sos ciptaan sendiri menjadi rahsia Nasi Ayam Madu Black Pepper Mamamia milik Siti Maisarah Kamaruzaman berhadapan Pasar Gurun di sini menggamit selera mereka yang hendak ke bazar Ramadan berhampiran.
Menariknya di gerai jualan itu, Siti Maisarah menyediakan dua pilihan utama untuk pelanggan iaitu ayam madu percik dan ayam madu lada hitam yang dikukus panas di gerai berkenaan untuk mengekalkan kesegaran ayam madunya itu sehingga waktu berbuka puasa.
"Saya mula berniaga sekitar 5 petang hingga 7.30 malam, tetapi saya akan datang awal sekitar 3.30 atau 4 petang untuk masak ayam madu percik dan lada hitam ini.
"Mengenai kelainan nasi ayam madu saya ini, apa saya boleh katakan adalah daging ayam saya ini rasanya lembut sebab dikukus berbanding digoreng," katanya ketika ditemui Bernama digerainya semalam.
Selain itu, dia berkata perapan ayam berkenaan juga diletakkan madu sebagai perasa tambahan untuk menghasilkan rasa lemak manis semulajadi sekali gus memberikan kelainan kepada menu jualannya tersebut.
"Bukan setakat ketika ayam ini diperap saja saya masukkan madu, malah semasa ayam dikukus juga saya tambah lagi madu di atas ayam untuk memastikan rasa ayam saya sedap dimakan, rasa lembut dan manis.
"Nasi juga dimasak dengan air rebusan tulang serta kaki ayam untuk menyedapkan lagi rasa nasi tersebut tanpa menggunakan perasa tambahan MSG," katanya sambil menambah mula berniaga nasi ayam madu itu dengan menerima tempahan secara dalam talian sejak April tahun lepas.
Siti Maisarah berkata nasi ayam madunya itu dijual pada harga hanya RM6 sebungkus dengan seekor ayam seberat 2.4 kilogram dipotong kepada lapan bahagian sahaja untuk dibahagikan kepada sebungkus nasi ayam madu berkenaan.
Katanya kebanyakan pelanggannya terdiri daripada mereka yang pernah membeli nasi ayam madunya itu sebelum ini secara dalam talian dan mereka berpuas hati dengan rasa nasi ayam hasil resepinya tersendiri itu.
"Tahun lepas saya hanya berniaga nasi ayam ini dalam online ja, kumpul order dan saya buat cod (penghantaran). Ini pertama kali saya berniaga di gerai pada Ramadan kali ini memandangkan terdapat juga permintaan daripada pelanggan tetap suruh berniaga pada bulan puasa ini.
"Sepanjang 13 hari berpuasa ini, hampir 80 ekor ayam habis dijual untuk nasi ayam ini termasuk jual ayam sahaja. Saya jual ayam madu percik ayam lada hitam ini sahaja tanpa nasi kalau pelanggan nak, sama ada seekor atau sebelah ayam sahaja masing-masing harga RM22 dan RM12," katanya.
Sementara itu, pelanggannya Nur Aisyah Sabri, 21, berkata dia sangat menggemari nasi ayam madu berkenaan kerana kelainan rasa pada nasi dan perapan ayam itu sendiri yang sangat sedap.
"Saya selalu beli nasi ayam madu ini sejak tahun lepas, rasa daging ayam yang lembut dan berair, juicy secukup rasa, makan nasi sahaja pun sedap dah...apabila dah balik kampung bercuti Sabtu dan Ahad ini, sebab saya belajar di Pulau Pinang, saya tidak melepaskan peluang untuk menikmati menu ini," katanya.-- BERNAMA
#Bazar Ramadan #buka puasa #iftar #mamamia #nasi ayam madu #pasar gurun #pasar Ramadan #Ramadan #siti maisarah kamaruzaman
;