Apple umum MacBook Air baharu, MacBook Pro, cip M2, perisian iPhone dan banyak lagi
Astro Awani
Jun 7, 2022 14:22 MYT
Jun 7, 2022 14:22 MYT
KUALA LUMPUR: Apple telah memperkenalkan ciri baharu yang membolehkan reka letak skrin kekunci (lockscreen) diubah suai mengikut citarasa anda.
Kemas kini baharu itu bakal hadir kepada semua pengguna iPhone melalui iOS 16 dan ia telah diperkenalkan menerusi Persidangan Pembangun Seluruh Dunia (WWDC) yang berlangsung pada Isnin.
Apple dijangka menawarkan sistem operasi baharu ini seawal September atau Oktober 2022 ini.
Menerusi iOS 16, pengguna boleh mengubah pewarnaan gambar pada skrin kekunci seumpama meletakkan penuras (filter) pada gambar dengan hanya meleret (swipe) ke kiri atau ke kanan.
Di samping itu, pengguna juga boleh mengubah sejumlah perkara, termasuk pilihan muka telefon, dan juga penambahan widget pada skrin kekunci.
Pada masa yang sama, notifikasi diubah kepada lokasi bawah skrin – membolehkan anda melihat penuh gambar skrin kekunci tanpa menghalangnya.
Pengguna juga boleh melihat sejumlah aktiviti terus daripada skrin kekunci tanpa perlu membuka sesuatu aplikasi.
MacBook Air generasi baharu
Menerusi WWDC juga, Apple turut memperkenalkan MacBook Air generasi baharu yang hadir dijana dengan cip M2.
Bersama-sama MacBook Air ini juga, Apple menyelarikan rekaan dan menawarkan rekaan skrin bertakuk.
MacBook Air hadir dengan skrin 13.6-inci, rekaan tanpa bingkai, dan turut menyertakan kamera swafoto 1080p pada bahagian skrin bertakuk.
Ia turut menawarkan pengecasan magnetik melalui MagSafe, dan menyertakan pengimbas cap jari Touch ID pada kekunci untuk imbasan biometrik.
Dengan cip Apple M2, ia menawarkan masa penggunaan yang sangat lama, lantas menyokong prestasi lebih berkuasa berbanding generasi sebelum ini.
MacBook Air baharu ini ditawarkan pada harga bermula RM5,499 untuk versi 8-teras GPU, sementara 10-teras GPU bermula RM6,699. Model versi Apple M1 masih kekal ditawarkan pada harga bermula RM4,399.
MacBook Pro skrin 13 inci
Pengeluar peranti terkemuka berkenaan turut memperkenalkan MacBook Pro dengan skrin 13 inci yang dijana cip Apple M2 baharu.
MacBook Pro dengan cip Apple M2 ini hadir menggunakan rekaan yang lama, dan bukannya moden seperti MacBook Air M2.
Ini sekali gus membawa kepada rekaan bingkai yang sedikit tebal. Apple juga tidak menyertakan takuk pada komputer ini, selain mengekalkan ciri Touch Bar pada bahagian atas papan kekunci.
Dengan nama Pro, ia turut menawarkan sokongan memori sehingga 24GB RAM, di samping storan sebesar 2TB.
Apple dijangka menawarkan komputer riba ini bermula bulan hadapan kepada pengguna. MacBook Pro baharu ini ditawarkan pada harga bermula RM5699 untuk versi 8-teras GPU, sementara 10-teras GPU bermula RM6499.