Apple tangguh pembuatan iPhone 12 ekoran pandemik COVID-19

Agensi
April 28, 2020 08:00 MYT
COVID-19 memberi kesan kepada rantaian bekalan dan pembuatan iPhone. -REUTERS / Jason Reed
APPLE dilaporkan menangguhkan proses pembuatan dan pengeluaran besar-besaran model terbaharu iPhone, iPhone 12, sekurang-kurangnya untuk tempoh sebulan.
The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan COVID-19 memberi kesan kepada rantaian bekalan dan pembuatan.
Namun perkara itu dijangka tidak memberi kesan besar ke atas pelancaran model terbaharu mereka.
Apple sebelum ini dilaporkan akan memperkenalkan empat model iPhone baharu, semuanya dengan skrin OLED 5.4-, 6.1-, atau 6.7-inci.
Apple biasanya melancarkan model iPhone terbaharu pada bulan September dan memulakan penghantaran peranti tersebut sebelum akhir bulan yang sama.
Hal ini dapat dilakukan kerana pembuatan besar-besaran berjalan pada musim panas, yang mungkin tidak berlaku tahun ini.
WSJ bagaimanapun melaporkan bahawa Apple masih akan mengeluarkan iPhone baharu pada bulan Julai hingga September, tetapi kelewatan pengeluaran besar-besaran mungkin akan menyebabkan kekurangan jumlah model terbaharu itu.
Ini bukan kali pertama Apple mengalami kelewatan pengeluaran iPhone. iPhone X dilancarkan pada masa yang sama dengan iPhone 8, iaitu pada bulan September 2017, tetapi masalah pengeluaran membuatkan pengguna hanya boleh mendapatkannya di kedai pada November tahun yang sama.
#Apple #COVID-19 #iPhone #iphone 12 #model #rantaian bekalan #skrin OLED #Wall Street Journal
;