Apple siasat insiden pengguna dakwa iPhone 7 Plus meletup ketika tidur
Kohilah Sekaran
Februari 25, 2017 10:17 MYT
Februari 25, 2017 10:17 MYT
SEORANG pengguna telefon pintar iPhone 7 Plus di Amerika Syarikat mendakwa telefonnya meletup dan mula berasap walaupun tidak digunakan pada ketika itu.
Video kejadian itu dikongsi oleh Brianna Olivas dari Tuscon, Arizona menerusi akaun Twitternya pada Khamis lalu.
Rakaman itu kemudian viral di media sosial dan mengundang kebimbangan dalam kalangan pengguna Apple.
Dalam video berdurasi 20 saat itu, kepulan asap dilihat keluar dari bahagian bateri telefon yang lebur akibat letupan itu.
Memetik laporan portal Mashable, selepas sebulan memiliki iPhone 7 Plus, Olivas mula berhadapan dengan masalah kegagalan untuk menghidupkan telefon itu.
Sehari sebelum kejadian, Olivas telah membawa ia ke salah sebuah kedai Apple untuk diperiksa, namun diberitahu telefon itu tidak mempunyai sebarang masalah.
Menurut Olivas, dia sedang tidur ketika kejadian itu berlaku, dan teman lelakinya yang bertindak untuk membuang iPhone 7 Plus itu ke dalam bilik mandi serta merakam insiden berkenaan.
Sementara itu, syarikat Apple berkata mereka sedang menyiasat kes letupan ini yang dipercayai berlaku akibat masalah bateri.
"Kami telah menghubungi dia dan sedang menyiasat kes ini," kata seorang jurucakap Apple.
Bagaimanapun, ini bukan kes letupan pertama melibatkan iPhone. Pada bulan Oktober lalu, iPhone 7 yang dimiliki seorang lelaki dari Australia juga meletup dalam poket depan seluarnya.