Aplikasi JTI: Tawar variasi produk pelancongan di hujung jari!
Ehsan A Marisah
April 6, 2022 13:29 MYT
April 6, 2022 13:29 MYT
PEMBUKAAN semula sempadan negara pada 1 April lalu meletakkan negara pada posisi terbaik untuk kembali merancakkan ekonomi, terutamanya sektor pelancongan susulan terjejas teruk akibat COVID-19.
Pastinya pembukaan melibatkan pintu masuk udara, darat dan laut selaras Fasa Peralihan Ke Endemik itu memberi keterujaan orang ramai dan para pelancong untuk ‘makan angin’ dan ‘jalan-jalan’.
Justeru, menyedari kepentingan mewujudkan pengalaman hebat semasa melancong, Johor menjadi negeri pertama memacu dan menawarkan pelancongan di negeri itu melalui platform digital menerusi aplikasi Johor Tourism Interchange (JTI).
Semua kemudahan di bawah satu naungan
Sejak dilancarkan pada 15 September 2021, aplikasi tersebut bukan sahaja telah memberi pulangan pelaburan memberangsangkan, malah mempromosikan pelbagai produk pelancongan dan meningkatkan pengalaman positif mereka yang berkunjung ke negeri selatan tanah air itu.
Platform digital berkenaan dilengkapi dengan pelbagai ciri hebat, penawaran fungsi yang meluas serta memenuhi keperluan pengguna masa kini.
1. Lebih 200 tempat boleh dikunjungi
Aplikasi JTI menawarkan lebih 200 destinasi berdaftar untuk dikunjungi. Tempat-tempat tarikan pelancong di negeri dengan 10 daerah itu boleh diterokai oleh pengguna pada fungsi paparan Destinasi Pilihan (Preferred Destinations Site).
Kini, tiada lagi kebuntuan atau ‘bermasam muka’ dengan rakan mahupun orang tersayang untuk merancang perjalanan dan membuat keputusan setibanya di negeri Johor.
2. Pelbagai kategori pelancongan
Terdapat pelbagai kategori pelancongan untuk memudahkan pengguna mencari lokasi pilihan, iaitu menerusi fungsi paparan Modul Katalog Tarikan (Attractions Catalog Module).
Ia akan membantu pengguna untuk mendapatkan maklumat menyeluruh mengenai lokasi yang akan dikunjungi.
Antara maklumat yang akan dipaparkan ialah penerangan tentang tempat, waktu operasi, tempoh yang dicadangkan dan banyak lagi selain membolehkan pengguna menggunakan fungsi Suara (Speech) untuk menggunakan panduan suara.
Bagi pengguna yang ingin menuju ke destinasi pilihan, mereka boleh menggunakan peta navigasi yang disediakan demi memastikan pengguna dapat sampai ke destinasi dengan selamat.
Pengguna juga boleh mendapatkan waktu perjalanan pengangkutan awam bagi bas di setiap daerah termasuk ramalan cuaca dan waktu solat.
3. Kemudahan E-Wallet (pada versi 2.0)
Jangan risau sekiranya anda tidak cukup atau kehabisan wang tunai semasa berjalan-jalan di Johor.
Melalui kemudahan E-Wallet, JTI akan dapat memastikan aliran tunai pengguna lebih tersusun apabila pengguna boleh membayar secara dalam talian kerana telah dilengkapi dengan 53 institusi pengeluar wang melibatkan 47 bukan institusi perbankan dan enam bank.
Tambahan, bagi pelancong antarabangsa pula, mereka turut disediakan dengan ciri pertukaran mata wang asing.
4. Tempah hotel idaman dengan mudah
Pengguna kini boleh mencari hotel pilihan terdekat dan membuat tempahan dengan mudah sekali gus membuat pembayaran melalui JTI.
5. Selesai bayaran permit Jabatan Perhutanan Johor dan Taman Negara
Pengguna juga boleh membuat bayaran permit di bawah kategori Eco Tourism. Ini pastinya memberikan kemudahan bagi mereka yang cintakan alam semula jadi serta gemar melakukan aktiviti seperti mendaki gunung, berkhemah, mandi air terjun dan banyak lagi.
6. Pengalaman hebat dengan Augmented Reality (AR)
Augmented Reality (AR) diperkenalkan dalam aplikasi JTI bertujuan menambahkan lagi kepuasan kepada pengguna semasa melawat Johor.
Pelbagai kandungan menarik yang memberikan pengguna peluang untuk menikmati dan menyelami pengalaman percutian hebat menggunakan teknologi AR.
Pemetaan Majestic Johor Safe (MJS)
Pemetaan MJS ke dalam aplikasi JTI akan membantu para pengguna memilih penginapan dan lokasi pelancongan yang diiktiraf sebagai “Lokasi Pematuhan SOP Terbaik”.
Inisiatif tersebut secara tidak langsung dapat mewujudkan safe bubble bagi kebanyakan tempat di Johor.
Inilah masanya untuk anda berkunjung ke Johor dengan lebih mudah dan selamat serta mencipta pelbagai momen indah di sana.
Muat turun aplikasi JTI di Google Playstore dan App Store anda sekarang!