#APECHottie: Pemimpin Kanada, Mexico dahului senarai pemimpin kacak di APEC
Syafique Shuib
November 19, 2015 09:42 MYT
November 19, 2015 09:42 MYT
DI SAAT pemimpin-pemimpin dunia sibuk berbincang tentang hal ekonomi di Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-23 yang sedang berlangsung di Manila, perbincangan lain pula sedang rancak diperkatakan di media sosial.
Netizen tempatan kini sibuk berbincang tentang siapa yang paling kacak, menerusi hashtag #APECHottie yang trending di Filipina.
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau jelas mendahului carta netizen ini.
Gambar Trudeau memakai pakaian tradisional Filipina dikenali sebagai 'Barong Tagalog' kian mendapat pujian ramai.
Namun Trudeau mempunyai saingan sengit dari Presiden Mexico Enrique Pena Nieto.
Ada juga yang lebih patriotik dengan memilih pemimpin Filipina Benigno Aquino sebagai individu paling ‘hot’.
Pada Sesi Pemukiman Pemimpin pada 19 November, para pemimpin daripada 21 ekonomi APEC akan membincangkan keutamaan 2015 APEC seperti yang ditetapkan oleh Filipina.
Bertemakan "Membina Ekonomi Inklusif, Membina Dunia Lebih Baik", perbincangan akan memberi tumpuan kepada dua sesi iaitu Pertumbuhan Inklusif melalui Ekonomi Bersepadu serta Pertumbuhan Inklusif melalui Komuniti Mampan dan Berdaya tahan.