Apabila berbuka puasa teringat otak dikeluarkan dari mayat warga Rusia

Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki
April 13, 2023 22:30 MYT
Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki bersama rakan-rakan yang mengikuti pengajian dalam jurusan perubatan di Volgograd State Medical University, Rusia berbuka puasa bersama.
VOLGOGRAD: Hakikatnya, kemanisan bulan Ramadan akan lebih dirasai apabila berpeluang menunaikan ibadat berpuasa dengan penuh rasa syukur bersama keluarga di kampung halaman.
Namun, bagaimana pula perasaan apabila terpaksa berjauhan di perantauan tanpa keluarga di sisi?
Pastinya tersentuh perasaan setiap kali menikmati juadah ketika berbuka apabila berada di luar negara sama ada atas tuntutan tugas atau melanjutkan pelajaran.
Barangkali, ada sebilangannya besar seronok menjalani ibadat puasa pada musim sejuk apabila berada di luar negara dan tidak kurang berdepan dengan cabaran terpaksa melalui waktu berpuasa yang panjang.
Pendek kata, berpuasa di perantauan, jauh dari Malaysia dan keluarga, sudah pasti mempunyai pelbagai cabarannya.
Selain terkenang adik-beradik dan rindukan suasana ceria Ramadan di tanah air, berpuasa di luar negara ada kelainan, baik dari sudut cuaca, tempoh berpuasa yang panjang bagi negara-negara yang kini dalam penghujung musim sejuk dan memasuki musim bunga selain komuniti Islam yang lebih kecil.
Malah, rindu juga tertumpah apabila teringatkan kemeriahan bazar Ramadan di pelbagai negeri di Malaysia kerana di perantauan tiada suasana membeli-belah juadah berbuka puasa di gerai tepi jalan.
Ini kisah saya, seorang perantau di sebuah negara asing di bumi bekas Soviet, Rusia.
Tahun ini, 2023, sudah tiga tahun saya serta rakan Muslim dari Malaysia berbuka puasa, berterawih dan bersahur dengan seadanya.
Tahun ini, 2023, tidak seperti tahun sebelumnya, kes COVID-19 sudah hampir tiada. Manakala perang Rusia-Ukraine masih berpanjangan tetapi kesannya sudah tidak begitu dirasai.
Dua perkembangan ini, pada tahun lepas memberi kesan kepada perantau Malaysia di Rusia, tetapi sudah mula reda pada tahun ini.
Antaranya, mata wang Ruble sudah lebih kukuh berbanding Dolar Amerika, bermakna harga makanan juga mula stabil dan tidak membebankan.
Bedah kaki babi
Memasuki tahun keempat sebagai pelajar jurusan perubatan, masa saya dan 11 lagi rakan dari Malaysia kebanyakannya bukan lagi di kelas, tetapi di hospital.
Ini kerana kami sudah memasuki "Clinical Year" yang memerlukan kami membuat latihan amali di hospital kepakaran seperti khusus untuk mata, kanak-kanak ortopedik dan sebagainya.
Terdapat juga beberapa jam diperuntukkan untuk kelas pembedahan dan jahitan selain terpaksa ke rumah mayat di hospital tertentu.
Malah, jarak di antara hospital kepakaran dengan hospital kepakaran yang lain amat jauh, dua jam pergi balik jika menggunakan bas.
Ini sudah pasti mencabar fizikal dan mental semasa berpuasa untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga lebih-lebih lagi, kini Volgograd sudah memasuki awal musim bunga.
Tempoh masa berpuasa di musim bunga dan sejuk di Rusia, tidak seperti Malaysia, kerana di sini sedikit lama iaitu sehingga 15 jam dan akan menjadi 17 jam di akhir Ramadan.
Sewaktu musim sejuk, waktu Subuh di sini jatuh antara jam 6 hingga 6.30 pagi dan waktu berbuka puasa pula pada sekitar jam 4:30 petang.
Manakala di musim bunga, waktu Subuh ialah antara jam 4 hingga 4.15 pagi dengan waktu berbuka pula sekitar 7.30 malam dalam suhu antara 15 hingga 18 darjah Celcius.
Ramadan pada tahun ini, ada beberapa kali saya terpaksa berbuka di hospital, walaupun di kebanyakan masa, saya sempat pulang ke asrama dan memasak sendiri hidangan berbuka.
Sebagaimana saya katakan tadi, jadual pembelajaran pada tahun ini tidak begitu padat tetapi agak meletihkan dan sememangnya mencabar serta memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.
Bayangkan, kelas bermula seawal 8 pagi (12 tengah hari waktu Malaysia) dan berakhir pada 7 malam (11 malam waktu Malaysia) tetapi masa banyak berjalan di atas jalan, di dalam bas untuk pulang ke asrama.
Apa yang menjadi cabaran getir ketika Ramadan tahun ini ialah sebagai pelajar jurusan perubatan, selain letih terpaksa mengembara jauh dengan bas, terdapat beberapa ujian mingguan yang perlu ditempuhi.
Menjadi pelajar jurusan perubatan, saya terpaksa melakukan pembedahan dan jahitan.
Bayangkan, di bulan Ramadan, yang dibedah dan dijahit bukan lembu, kambing atau katak, tetapi babi!
Yang saya tahu kemudiannya, kaki babi dipilih disebabkan strukturnya paling hampir atau paling mirip dengan kaki manusia.
Untuk memahirkan diri dengan jahitan pula, selepas berbuka dengan pisang, kami pelajar Malaysia secara beramai-ramai membuat jahitan di kulit pisang yang tidak dibuang selepas isinya jadi juadah berbuka.
Kiranya, kegunaan pisang ini adalah dua dalam satu, mengenyangkan pada masa sama dapat memahirkan seni jahitan.
Semasa bulan puasa ini juga, saya beberapa kali ke bilik mayat hospital, letaknya agak jauh daripada asrama penginapan.
Di bilik mayat, saya dapat lihat otak dikeluarkan daripada mayat. Begitu juga jantung turut dikeluarkan daripada mayat lain.
Organ-organ lain daripada mayat manusia warga Rusia juga dikeluarkan, saya fikir untuk tujuan pemindahan organ, tetapi saya ke sana sebagai pelajar perubatan.
Semasa lihatnya secara langsung dan ketika berpuasa pula, saya akui loya memang ada, tetapi terpaksa menahan diri. Kalau muntah, bimbang batal pula puasa nanti.
Ayam masak mentega persis otak manusia
Apabila pulang, untuk lupakan apa saya lihat, saya paksa diri kenangkan keriangan dan kemeriahan bazar Ramadan di Kuala Lumpur semasa bersama-sama ibu bapa saya membeli juadah sebelum berbuka puasa.
Saya juga paksakan diri ingatkan kenikmatan juadah ayam masak mentega air tangan ibu saya.
Jadi, pulang dari hospital selepas lihat otak dikeluarkan daripada kepala warga Rusia, saya putuskan untuk memasak ayam mentega.
Namun, apabila siap, tekstur hidangannya yang pekat kerana gabungan mentega dan susu cair, ditambah warnanya sedikit kuning membawa saya menyamakannya dengan otak yang saya lihat di hospital.
"Sedap ayam mentega ini, cukup pekat, rasa lemak. Lain kali, kami bagi ayam dan you buat hidangan ini untuk kami juga," kata Vasily rakan Rusia yang tinggal di asrama sama, memberi komen juadah berbuka puasa saya hasilkan.
Namun, saya tidak akan sesekali menghasilkannya dalam kuantiti banyak memandangkan jika Vasily membeli ayam sekali pun, saya tahu ia bukan ayam halal. Mana mungkin saya masakkan untuk beliau.
Sementara itu, jika rindukan Malaysia, saya dan rakan-rakan senegara akan cuba menghasilkan hidangan seperti nasi lemak, walaupun rencahnya serba-serbi kurang.
Tiada daun pandan di Volgograd ya, begitu juga serai dan cili kering, cuma boleh ganti dengan serbuk lada atau chilli flakes. Tetapi, hasilnya, menggamit ingatan terus ke Kuala Lumpur.
Pada tahun ini, selepas lebih 20 hari berpuasa, saya belum pernah berkesempatan berbuka puasa beramai-ramai dengan komuniti Islam di Rusia, yang ramainya berasal dari Uzbekistan, Tajikistan dan Turkmenistan.
Daripada apa yang saya dengar, terdapat mini bazar Ramadan dikendalikan oleh komuniti mereka, tetapi tidak berkesempatan mengunjunginya, disebabkan kesibukan belajar.
Di Volgograd, tempat saya belajar, terdapat kurang daripada 20 pelajar Malaysia beragama Islam dan kami tidak sering berbuka puasa bersama atau mengambil giliran memasak disebabkan jadual harian dan berlainan untuk setiap tahun pengajian.
Begitu juga dengan solat Tarawih dan sahur, suasananya amat berlainan dengan Malaysia. Itu belum cerita pasal moreh, yang tidak pernah ada suasananya di Volgograd.
Imsak ketika musim bunga adalah sekitar jam 3.30 pagi, tidak seperti di Malaysia iaitu 5:30 pagi.
Cuacanya memang sangat sejuk, tetapi saya paksa diri bangun sahur, sekadar menjamah kurma bersama nasi goreng dan telur.
Ketika memandang nasi dan telur, saya terkenang sahur di Malaysia, teringat air teh hangat dinikmati bersama roti.
Perasaannya sayu kerana sahur seorang diri, terpaksa pula menghabiskan hidangan yang dibikin sendiri.
Namun, inilah dugaan di bulan Ramadan buat pelajar di perantauan seperti saya.
Begitulah cerita Ramadan saya. Jadi perantau di negara orang beginilah dan saya terimanya sebagai pengajaran berguna di kemudian hari.

* Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki merupakan pelajar dari Malaysia yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan perubatan di Volgograd State Medical University, Rusia dan penulis buku "Senandika Cinta dan Korona di Rusia" terbitan Dr Meks Enterprise.
** Artikel ini merupakan pengalaman peribadi penulis.

#Puasa 2023 #kisah perantau berpuasa #Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki #Volgograd State Medical University
;