Apa yang menarik di Sabah?
Saraya Mia
Februari 10, 2022 21:29 MYT
Februari 10, 2022 21:29 MYT
JIKA terfikir tentang Sabah, ramai akan terbayang pemandangan indah puncak gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu.
Namun bukan itu saja yang ada. Sabah menawarkan keistimewaannya tersendiri - daripada pantai pasir putih di Tanjung Aru, pulau di sekitar kepulauan Borneo yang permai seperti Pulau Mantani, sehinggalah aktiviti riadah di Kota Belud serta variasi makanan etnik yang unik.
Berikut senarai lima destinasi paling memikat hati penulis semasa berada di Sabah.
Polumpung Melangkap
Bagi anda yang gemarkan aktiviti outdoor, di sinilah tempatnya!
Terletak lebih satu jam perjalanan dari ibu negeri, tapak perkhemahan Polumpung Melangkap menawarkan aktiviti seperti berkhemah dan berkelah di tepi sungai berlatarbelakangkan pemandangan Gunung Kinabalu.
Malah, pengunjung boleh bermalam di tapak perkemahan dan chalet yang diusahakan penduduk tempatan. Bagi pengunjung yang tidak membawa kelengkapan untuk menginap di sana, peralatan tersebut boleh disewa.
Turut disediakan pakej lengkap termasuk makan dan minum. Sambil bermandi-manda di Sungai Panataran yang jernih, anda juga boleh melakukan aktiviti memasak bersama rakan-rakan. Guna sahaja sumber alam yang ada kerana air sungai ini boleh diminum.
Pengalaman berkhemah di sini sedikit berbeza kerana cuacanya agak sejuk serta menyajikan pemandangan yang tenang seperti bercuti di rumah kabin New Zealand.
The Shire Sinisian Lodge
Anda bukan penggemar aktiviti outdoor tetapi mahukan penginapan berlatarkan Gunung Kinabalu?
The Shire Sinisian di Kampung Sinisian yang terletak satu jam perjalanan dari Kota Belud menawarkan homestay bertemakan The Hobbit. Ia sesuai dijadikan persinggahan ketika berada di Kundasang.
Terdapat 15 bilik di homestay yang dibangunkan daripada binaan konkrit berwarna-warni yang menjadikan ia lokasi Instagramable!
Pada waktu pagi, anda boleh melihat pemandangan Gunung Kinabalu diselimuti awan sambil menikmati teh atau kopi panas sambil didakap suhu yang dingin.
Dalam perjalanan pulang ke KK, pastikan anda singgah di Fresh Market Kundasang untuk membeli buah dan sayuran segar, serta cuba ayam panggang popular di sekitar jalan berdekatan.
Mari-Mari Cultural Village
Jika ingin mendalami etnik-etnik Sabah, Mari-Mari Cultural Village di Kampung Kionsom, Inanam menawarkan pengalaman interaktif.
Muzium hidup ini memaparkan keunikan lima rumah etnik utama di Sabah termasuk Kadazan Dusun, Rungus dan Bajau.
Ia terletak sekitar 20 minit dari Bandaraya Kota Kinabalu dan dibina sepanjang Sungai Kionsom di kawasan hutan seluas tujuh hektar.
Di rumah suku kaum Bajau, pengunjung dapat melakukan aktiviti interaktif dan demonstrasi secara langsung tradisi-tradisi suku kaum Asal.
Mungkin anda mahir memasak di rumah tetapi pengalaman di sini mungkin memberi sedikit kelainan kerana bahan masakan dan kaedah memasak etnik sedikit berbeza.
Jangan lepaskan peluang untuk mencuba cara pembuatan hidangan tradisional etnik Bajau seperti kuih jala yang digoreng menggunakan minyak panas dan penyediaan teh pandan yang direbus di atas dapur kayu.
Bukan itu sahaja, jika anda ke replika rumah etnik Rungus, pengunjung boleh melihat demonstrasi menyalakan api menggunakan kayu buluh.
My Native Sabah
Tidak sempurna perjalanan selagi tidak mencuba makanan tradisional tempatan.
My Native Sabah di Penampang menyajikan makanan autentik etnik Sabah, khususnya Kadazan Dusun yang merupakan etnik terbesar di Kota Kinabalu.
Antara seleksi hidangan termasuk set Linopot iaitu nasi bario yang dihidang dengan ikan masin, Jeruk Tuhau dan Bambangan serta set Ambuyat, iaitu adunan sagu yang dicampur dengan air panas hingga menjadi likat.
Selain itu, pengunjung juga boleh mencuba Butod atau ulat sagu yang dihidang hidup-hidup, digoreng atau diolah menjadi sushi.
Menurut pengusaha restoran, ramai dalam kalangan pengunjung membuat tempahan Butod untuk mencuba kelainan atau sebagai cabaran bagi rakan-rakan. Ia pasti menambahkan lagi memori ketika bercuti ke sana.
Sutera @ Mantanani Resort and Spa
Sabah amat terkenal dengan keputihan pasir pantai dan kejernihan air lautnya, malah segala elemen tropika itu melayakkannya diiktiraf sebagai antara destinasi pulau tercantik di dunia.
Kehidupan marin yang terpelihara serta kekayaan terumbu karang yang jauh dari kepesatan pembangunan sudah pasti akan meninggalkan kesan berbeza kepada pengunjung.
Sutera @ Mantanani Resort and Spa terletak 45 minit dari Jeti Rampayan di Kota Belud dan dua jam perjalanan melalui jalan raya dari Kota Kinabalu untuk sampai ke jeti.
Di sini, pengunjung akan mendapat layanan eksklusif bertaraf hotel lima bintang dengan pakej lengkap termasuk bufet sarapan, makan tengah hari dan makan malam.
Tidak hanya penginapan mewah dan seleksi makanan yang menarik, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti di sekitar pantai, antaranya berkayak dan menaiki ATV sambil menyusuri hamparan pantai di kawasan resort.
Bagi anda yang gemarkan aktiviti lebih mencabar, jangan lepaskan peluang untuk meneroka terumbu karang di sekitar kepulauan ini. Aktiviti snorkeling semestinya menjadi kewajipan dan pengalaman menyaksikan spesies hidupan laut eksotik pasti tidak dapat dilupakan.
Setelah seharian melakukan aktiviti, pengunjung boleh menikmati pemandangan matahari terbenam dengan menaiki Sunset Cruise. Bot ini akan membawa anda melewati pulau kecil di kawasan sekitar, antaranya, Pulau Kalang-Kalang yang terbentuk dari terumbu karang.
Ketika matahari sudah terbenam, tinggalkan seketika kesibukan telefon bimbit anda dan nikmati pemandangan bintang di langit ketika berada tengah-tengah lautan.
Bak kata pepatah ‘siang menjadi angan-angan, malam menjadi buah mimpi’… pengalaman di Sabah tidak pernah dilupakan.
Tunggu apa lagi, jom Cuti-Cuti Malaysia!
*Artikel ini dibawakan oleh Tourism Malaysia