Apa guna pergi solat Jumaat?
Israr Khalid
November 23, 2018 09:21 MYT
November 23, 2018 09:21 MYT
APA guna pergi solat Jumaat?
Kalau perginya sekadar rutin, kerana sudah dituntut agama yang mewajibkan solat Jumaat. Kalau tidak dituruti maka akan jatuh berdosa.
Apa guna pergi solat Jumaat?
Kalau kereta diletakkan sesuka hati sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas. Kerana benar Tuhan yang Esa itu paling utama, tetapi apakah sehingga sanggup menyusahkan hidup orang lain?
Apa guna pergi solat Jumaat?
Kalau asyik bermain telefon bimbit ketika khatib sedang berkhutbah, atau rancak bersembang malah bergurau senda. Kerana mungkin bosan, atau sudah terbiasa menjadi ‘hamba’ kecanggihan teknologi perhubungan zaman ini.
Apa guna pergi solat Jumaat?
Kalau selepas solatnya terus berlalu pergi tanpa bersalaman dengan orang sebelah yang bersentuh bahu (itupun kalau rapat safnya), atau imam di depan yang memimpin solat tadi. Bukannya susah - hulur tangan, pandang wajah dan senyum. Itu saja.
Apa guna pergi solat Jumaat?
Kalau makanan wakaf dibedal semacam kebuluran. Sudah begitu, kulit pisang dan plastik pembukus makanan pula diletak berserakan. Sedangkan sudah tahu dan maklum, bahawa kebersihan itu sebahagian besar daripada iman.
Apa guna pergi solat Jumaat?
Kalau perginya semata-mata untuk mengumpul pahala. Kerana buat yang wajib itu dapat pahala. Pahala untuk dikumpul supaya kalau banyak nanti akan masuk syurga.
Sedangkan pahala itu bererti buah atau ganjaran, asalnya dari bahasa Sanskrit (Phala). Ganjaran Tuhan itu hadir dalam bermacam bentuk yakni tubuh yang sihat, keluarga dan rakan yang penyayang, rezeki dipermurahkan, perjalanan hidup sejahtera dan segala-gala bentuk kebaikan untuk diri kita.
Pernah tidak kita fikir, ada guna pergi solat Jumaat
Kerana ia satu bentuk senaman. Berjalan kaki ke masjid, bersolat sebagai satu bentuk olahraga yang menyihatkan tubuh. Bila tubuh sihat, darah berjalan lancar, otak jadi cerdas dan boleh berfikir dengan waras dan lebih tajam.
Pernah tidak kita fikir, ada guna pergi solat Jumaat,
Kerana di sanalah tempat kita inginkan ketenangan, berehat seketika dari hal dunia yang takkan menang tangan dan kembali menunduk diri kepada Yang Maha Kuasa. Itu pun kalau setiap jemaah tak kira tua atau muda dididik, tahu dan faham erti hormat - hormat diri, hormat ruang, hormat masa dan hormat Tuhan.
Pernah tidak kita fikir, ada guna pergi solat Jumaat.
Kerana di sanalah kita mengerat silaturahim, bertemu jiran tetangga, bersalaman dan bertanya khabar. Berbicara mengenai isu semasa, berhujah tentang idea, atau sekadar bertukar cerita menjalin pertalian saudara. Bukankah Islam itu ajarannya supaya menjaga hablumin-Allah dan habluminan-nas (hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia)?
Kesemua hari dalam bahasa Arab dinamakan mengikut nombor (Ahad-wahid, Isnin-Ithnani, Selasa-salasa, Rabu-arba’ah, Khamis-khamsah, dan Sabtu-sab’ah), kecuali hari Jumaat yang dinamakan sempena hari untuk umat Islam bersanggar, berkumpul, ber-jumaah (jemaah).
Dan apabila umat sudah berkumpul, waktu inilah khatib selaku pemimpin solat hari itu memainkan peranan yang amat penting. Khatib sewajibnya menjadi ‘penjual ubat’ atau terma profesionalnya ‘doktor’, menyampaikan kata-kata peringatan dan pesanan yang benar-benar ‘mujarab’ untuk rohani para ‘pesakitnya’ atau jemaahnya.
Pernah tidak kita fikir, ada guna pergi solat Jumaat.
Jika pengertian Jumaat itu benar-benar difahami dan diperluaskan pemahamannya, bukan terhad kepada umat Islam sahaja malah inklusif kepada segenap jenis manusia.
Baru anda tahu mengapa solat Jumaat itu wajib, dan anda rasa benar-benar seronok untuk ke masjid.