Anugerah fotografi Wellcome Image Awards 2016 iktiraf pelajar Malaysia di London

Malik Ridhwan
Mac 17, 2016 19:16 MYT
Izzat Fahimuddin Mohamed Suffian 26, pelajar Doktor Falsafah (PhD) di King's College London, berjaya mengukir namanya selaku seorang daripada 20 pemenang anugerah 'Welcome Image Awards 2016' di London. - Foto BERNAMA
Ternyata minat Izzat Fahimuddin Mohammed Suffian dalam bidang fotografi membuahkan hasil apabila penyertaannya tersenarai antara 20 pemenang Anugerah Wellcome Image Awards 2016 di London baru-baru ini.
Pertama kali diadakan pada tahun 1997, pertandingan fotografi peringkat antarabangsa ini dianjurkan setiap tahun untuk mengiktiraf para penyelidik dalam bidang sains bioperubatan dari seluruh dunia yang berjaya menghasilkan imej teknikal yang sangat informatif, menarik dan menakjubkan.
Pelajar doktor falsafah (PhD) perubatan dari King’s College London itu mengharumkan nama negara apabila imej dua bakteria berbentuk rod berada di atas lembaran graphene yang amat nipis melalui teknik pengimejan Transmission Electron Microscopy (TEM) berjaya menambat hati para juri, sekaligus menjadi antara 20 pemenang di anugerah tersebut tahun ini.
Izzat, 26, menyertai pertandingan tersebut bersama tiga lagi rakan universitinya iaitu Kuo-Ching Mei, Houmam Kafa dan Khuloud Al-Jamal.
Kemenangannya meletakkan nama Malaysia di mata dunia apabila kesemua imej pilihan juri akan dipamerkan di beberapa lokasi di United Kingdom dan Amerika Syarikat termasuk di Massachusetts Institute of Technology (MIT).
Beliau turut memenangi anugerah yang sama pada tahun 2014 dengan menghasilkan imej rawatan kanser berupa imbasan mikrograf elektron daripada kelompok sel-sel kanser payudara yang telah dirawat dengan zarah bersaiz nanometer membawa ubat anti-kanser, doxorubicin.
Menurut Izzat, adalah sukar untuk memperoleh gambar tersebut kerana ia memerlukan kaedah penyediaan yang rumit dengan peralatan canggih diperlukan untuk melihat zarah bakteria yang sangat kecil.
“Cabaran yang dihadapi pasukan saya adalah untuk mendapatkan imej oksida graphene yang sempurna menggunakan teknik mikroskopi elektron kerana ianya sangat kecil, berupa sebuah atom.
“Walau bagaimanapun akibat satu prosedur yang tidak disengajakan, ia membolehkan kami untuk merakam imej bakteria ini yang kebetulan membaluti lembaran oksida graphene sehingga menjadi bakteria,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya beliau mula mendalami teknik mengambil gambar-gambar mikro sejak melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Kobe, Jepun, dalam bidang Kimia dan Sains untuk mengkaji sel-sel kanser.
Tambahnya, beliau mula belajar dengan lebih mendalam mengenai teknik fotografi mikro apabila melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Kobe, Jepun, dalam bidang Kimia dan Sains untuk mengkaji sel-sel kanser.
“Saya mempunyai minat dalam fotografi sejak zaman persekolahan lagi. Namun minat terhadap fotografi sains bermula apabila saya berada di universiti mempelajari teknik Confocal Laser Scanning Microscopy.
“Saya sangat teruja dan kagum bagaimana sel kanser yang sangat kecil boleh dilihat sebagai satu seni dan memahami kelakuan sel-sel tersebut yang berada dalam badan kita. Sejak itu saya mula tertarik untuk menghasilkan imej mikro melalui mikroskop,” katanya sambil berharap agar lebih ramai dapat menghargai dan memahami keluarbiasaan bakteria ini dengan menunjukkan kepada mereka imej seperti yang dirakamkan.
Anak bongsu kelahiran Gombak ini yang merupakan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini menuntut di Institute of Pharmaceutical Science, King's College London, melakukan penyelidikan mengenai virus Hepatitis B untuk rawatan kanser serta 'Nanomedicine and Drug Delivery'.
#Izzat Fahimuddin #King's College London #London #Wellcome Image Awards
;