Anthony Bourdain belanja Barack Obama makan malam di Vietnam
Syafique Shuib
Mei 24, 2016 11:09 MYT
Mei 24, 2016 11:09 MYT
PRESIDEN Amerika Syarikat Barack Obama keluar makan malam bersama Anthony Bourdain?
Obama yang kini berada di Asia meluangkan masa untuk keluar makan bersama personaliti televisyen dan chef tersebut di Hanoi, Vietnam.
Kedua-dua mereka berkunjung ke sebuah restoran yang menyediakan hidangan mee tempatan yang dikenali sebagai bun cha.
Insiden ini dikongsi sendiri oleh Bourdain di laman rasmi Twitter dan Instagramnya.
“Jumlah bil makan malam bun cha bersama Presiden adalah $6 (RM24.66) Saya yang belanja!” tulis Bourdain di Twitter.
Menurut CNN.com, perbincangan antara Obama dan Bourdain akan ditayangkan di saluran berita itu menerusi program Anthony Bourdain Parts Unknown’ September ini.
Dalam perkembangan lain, Obama pada Isnin membuat pengumuman bersejarah di Vietnam apabila tiada lagi sekatan jualan senjata oleh AS dikuatkuasa di Vietnam selepas 50 tahun.
Obama kini dalam rangka jelajah ke beberapa negara Asia untuk memperbaiki hubungan dengan negara bekas jajahannya serta yang pernah diperangi.
Obama dijangka melawat Jepun selepas Vietnam.
Beliau juga bakal menjadi Presiden AS pertama yang masih memegang jawatan untuk melawat Hiroshima, bandar yang pernah dibom AS pada 6 Ogos 1945.