Angkat nama Lundu ke mata dunia menerusi Facebook
Hasimi Muhamad
September 14, 2019 08:30 MYT
September 14, 2019 08:30 MYT
Lebih berkesan dan dekat di hati rakyat!
Demikian usaha digunakan kerajaan negeri Sarawak apabila memilih platform media sosial Facebook sebagai salah satu cara mempromosikan sektor pelancongan di Lundu.
Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam usaha mengangkat Lundu di mata dunia.
“Kita menguar-uarkan sektor pelancongan di Lundu melalui laman sesawang Majlis Daerah Lundu.
“Kita juga menggunakan media sosial seperti Facebook bagi memberikan apa sahaja maklumat berkaitan produk pelancongan di sini,” katanya kepada Astro AWANI.
Jelas Norashikin, keindahan alam semula jadi di Lundu mampu menarik pelancong luar.
Ini sekali gus mampu menjana pendapatan, selain menyumbang kepada sasaran kehadiran 5 juta pelancong di Sarawak.
“Untuk tempoh jangka masa lima tahun, kami menyasarkan untuk menambah pendapatan dari segi sektor pelancongan.
“Kita amat mengalu-alukan para pelabur dari luar untuk membangunkan sektor pelancongan di Daerah Lundu,” katanya.
Katanya, fokus utama ketika ini adalah menaik taraf fasiliti bagi kemudahan para pelancong.
Lundu mempunyai keluasan kawasan 1,962.2 kilometer persegi.