Anggap orang susah itu adik-beradik kita - Uncle Kentang kongsi prinsip perjuangan

Hasimi Muhamad
Jun 13, 2021 13:12 MYT
Kuan berkata, kekuatan untuk membantu orang susah datang daripada harapan bersungguh-sungguh yang diletakkan mereka kepadanya. - Foto Astro AWANI
TIADA istilah penat dalam kamus hidup beliau. Yang penting bagi 'Uncle Kentang' adalah, mengeringkan tangisan dan air mata mereka yang dalam kesusahan.
Bukan hanya satu lokasi yang dijejaki, sebaliknya langkah kaki lelaki berusia 58 tahun ini membawa beliau ke segenap pelosok kota dan desa, tanpa menilai latar belakang agama dan bangsa.
Perjuangan murni ini dilakukan bukan hanya untuk meringankan beban golongan susah, tetapi juga sebagai bekalan diri selepas pulang ke kampung abadi.
Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng merupakan sosok tubuh yang tidak asing di negara ini.
Malah, nama aktivis masyarakat ini menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat sehingga budinya dihargai menerusi anugerah ‘Points of Light’ oleh Ratu Elizabeth II yang bakal diterima 30 Jun ini.
Ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini, Kuan menyifatkan pengalaman hidup dalam kesusahan suatu ketika dahulu menjadi pendorong untuknya meneruskan kerja-kerja amal.
"Tipulah kalau saya tidak penat. Saya memang sangat penat. Tetapi saya bersyukur kerana saya masih diberikan kesihatan yang baik.
"Jadi, saya hindari perasaan kepenatan itu dengan ambil maklum, mereka yang sakit memang memerlukan bantuan.
"Kekuatan (untuk membantu) ialah apabila orang menaruh harapan kepada kita, dan kita kena bersyukur," kata lelaki yang berasal dari Batu Pahat, Johor, ini.
"Dulu, (mendiang) ayah saya pun mati begitu sahaja, kerana kami tak mampu untuk sewa ambulans atau pergi jumpa doktor. Kami duduk dalam kawasan kampung.
"Maka, saya tak mahu peristiwa sedih ayah saya berulang di jiwa saya," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di pejabatnya di Puchong Utama, Puchong, baru-baru ini.
BACA: 'Penghargaan ini untuk semua'! - Uncle Kentang antara lima rakyat Malaysia terima anugerah Ratu Elizabeth II
Daripada pasar kepada perkhidmatan teksi 10 sen, sehinggalah perkhidmatan van jenazah dan ambulans RM1, semua inisiatif ini digerakkan demi kelangsungan hidup golongan tidak berkemampuan.
Selain itu, Presiden Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia ini turut menawarkan harga penginapan transit RM1 bagi membantu golongan memerlukan tempat tinggal ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Bunyi seperti tidak masuk akal, namun itulah realiti dan ketulusan hati Kuan yang mula menyediakan perkhidmatan tersebut sejak 2016.
Sebanyak lima buah rumah transit RM1 disediakan di Lembah Klang - tiga di Puchong, satu berhampiran bangunan Institut Kesihatan Negara, Shah Alam dan satu lagi di Kuala Lumpur.
Bagi beliau, mereka yang dibantu bukan satu beban buatnya tetapi rahmat Tuhan yang perlu disyukuri.
"Kita mesti ada semangat bahawa mereka yang jatuh di luar itu adalah adik-beradik dan ayah kita. Kalau ayah kita, macam mana? Kalau itu emak kita, macam mana? Jadi, semangat itu mesti sentiasa ada selalu di sanubari.
"Bagi saya, apabila saya bermesyuarat dengan kakitangan, saya selalu katanya: That is our father, that is our mother, that is our sister and that is our brother.
"Jadi, bagi saya, ia adalah satu kesyukuran apabila orang susah atau lapar datang jumpa kamu. Ia satu peluang yang Tuhan hadiahkan dan kamu tidak boleh pandang sinis. Kita kena banyak bersyukur dan mendalaminya.
"Dia (orang susah) adalah takdir. Tuhan tak akan jumpakan orang susah dengan orang susah. Orang susah ini bukan menyusahkan kita, dia menyenangkan kita ke jalan akhirat. Itu yang sangat penting," ujar beliau lagi.
Telefon tidak berhenti berdering
Sepanjang hampir dua jam bersama Kuan, empat telefon bimbit miliknya tidak berhenti berdering.
Setiap satunya mempunyai 'pelbagai fungsi' termasuk untuk bantuan kecemasan seperti ambulans.
Panggilan yang diterima pula daripada segenap lapisan masyarakat, termasuk warga asing.
Tambah beliau, situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini menyebabkan ramai golongan susah yang semakin terhimpit.
Sangat menyentuh hati beliau, apabila mendengar setiap tangisan individu yang menghubunginya.
"Bayangkan, semalam ada seorang lelaki bernama Bala hubungi saya dan kata, doktor suruh bawa balik isterinya (dari hospital) yang sakit kanser tahap empat.
"Masa dia bercakap dengan saya, suara dia kuat, tetapi selepas itu, apabila bercakap mengenai bayaran, (Bala berkata) tak apalah saya akan cari mana-mana kawan bantu, terus suaranya bertukar tangisan.
"Saya kata kepadanya, tak apalah Bala, kita adik-beradik, kita caj RM1 sahaja. Dia menangis seperti saya ini abang dia. Dia menangis, menaruh harapan betul-betul kepada saya," kongsi Uncle Kentang.
Pandemik COVID-19 masa untuk muhasabah
Usaha Kuan menyalurkan bantuan digerakkan bersama puluhan kakitangannya.
Tiada apa yang lebih mengembirakan beliau selain melihat mereka yang dalam kesusahan bangkit dan meneruskan semula kehidupan.
"Pandemik ini adalah untuk kita bermuhasabah sendiri. Kita cari mana hilangnya diri kita. Saya minta maaf, ramai daripada kita yang terlepas pandang, kita tak ambil mudah.
"Jadi, sesiapa yang sakit itu adalah saudara kita, sesiapa yang memerlukan bantuan itu adalah saudara kita," kata Kuan lagi, yang juga merupakan seorang ahli perniagaan.
Tidak hanya menyalurkan bantuan dari segi makanan dan kewangan, bantuan emosi dan sokongan moral juga antara yang sering dititikberatkan setiap kali berdepan golongan susah.
Namun, di sebalik kerja amal yang digerakkan, besar harapan Kuan agar badan kesukarelawan di negara ini diperkukuhkan lagi, termasuk dari segi undang-undang, bagi menjaga kebajikan badan bukan kerajaan (NGO).
Temu bual penuh bersama Kuan boleh ditonton menerusi program Stars@AWANI yang disiarkan hari ini di laman sosial Facebook dan YouTube Astro AWANI.
#Uncle Kentang #Stars AWANI Uncle Kentang #Uncle Kentang terima anugerah #Van jenazah RM1 #Teksi 10 sen #Kuan Chee Heng hero masyarakat #Kuan Chee Heng bantu orang susah #Aktivis masyarakat Malaysia #PKP 3 0 #laman sosial #warga asing #undang-undang #NGO
;