Anda masih bekerja dari rumah? Amalkan tip ini untuk elak konflik kerja dan keluarga

Najmi Syahiran Mamat
Mei 13, 2020 09:00 MYT
Menurut kajian, konflik peranan serta konflik kerja dan keluarga berupaya menurunkan produktiviti bekerja. - Gambar fail
SUSULAN lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), segelintir para pekerja terpaksa akur dengan keputusan itu sekali gus menerima hakikat bahawa mereka perlu sambung beberapa minggu lagi untuk bekerja dari rumah.
Ini kerana, masih ada syarikat yang memilih untuk membenarkan pekerjanya bekerja dari rumah sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan.
Bagi mereka yang bekerja dari rumah, bagaimana anda boleh teruskan mengadaptasi dengan normal baharu ini untuk beberapa minggu yang akan datang?
Menurut kajian, konflik peranan serta konflik kerja dan keluarga berupaya menurunkan produktiviti bekerja. Konflik yang timbul ketika bekerja dari rumah juga boleh menjejaskan kesihatan mental sekiranya tidak diatasi.
Namun, menurut Pakar Psikologi Klinikal, Dr Jamilah Hanum Abdul Khaiyom, terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan oleh majikan serta pekerja sepanjang tempoh pelaksanaan bekerja dari rumah seperti berikut.
1) Kurangkan gangguan
Pekerja boleh kurangkan apa-apa perkara yang boleh menambahkan gangguan. Sebagai contoh, anda boleh tetapkan atau membuat satu ruang kerja khas yang selesa dalam kalangan ahli keluarga anda sendiri.
Ini bagi memastikan gangguan dari sudut fizikal dapat dikurangkan. Setiap ahli keluarga akan ambil maklum bahawa ruang tersebut tidak boleh diganggu.
Dari segi mental pula, usaha ini bagi membolehkan kita dapat memberi tumpuan terhadap kerja sepenuhnya.
Dalam pada itu, pekerja juga digalakkan untuk berbincang bersama ahli keluarga untuk mewujudkan kebiasaan waktu bekerja (common working hours) dan kebiasaan waktu rehat (common break period) agar proses bekerja terhindar dari sebarang gangguan di dalam rumah.
2) Tetapkan matlamat harian dan matlamat menuju tamat PKP
Anda juga boleh menetapkan matlamat untuk mencapai sesuatu dalam tugasan pekerjaan. Langkah ini boleh dilakukan dengan membuat senarai semak pada matlamat harian dan juga matlamat menuju hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, apa yang terbaik adalah pekerja juga perlu berbincang dengan ahli keluarga dan majikan berhubung matlamat-matlamat itu tadi supaya pekerja dapat menjadi lebih bertanggungjawab dalam menyelesaikan tugasan diberikan..
3) Tetapkan sempadan yang jelas dari segi waktu bekerja
Kajian membuktikan bahawa mereka yang bekerja dari rumah akan bekerja lebih masa berbanding mereka yang bekerja di pejabat.
Hal ini berlaku kerana sempadan atau had untuk bekerja tidak jelas di antara kerja dan kehidupan harian individu.
Maka, anda disarankan agar menetapkan sempadan dalam tugasan harian dan patuh kepada jadual waktu bekerja yang sama setiap hari.
4) Buat pelan komunikasi antara majikan dan pekerja
Bekerja dari rumah tentunya melibatkan komunikasi secara maya.
Namun, kadangkala, berlaku konflik antara dua pihak ini apabila majikan mengharapkan pekerja segera menjawab persoalan atau arahan melalui pesanan ringkas atau emel.
Justeru, bagi mengelakkan kedua-dua pihak tidak tertekan, pelan komunikasi perlu dibuat supaya pekerja terutamanya diberi masa untuk bersedia dengan arahan tugasan.
5) Bina kualiti sosial secara talian
Meskipun saranan terbaik sekarang adalah untuk ‘duduk di rumah’ dan amalkan penjarakan sosial, namun itu tidak bermakna anda tidak boleh membina kualiti kehidupan bersosial.
Ini kerana, secara talian, teknologi membenarkan anda untuk berbuat demikian.
Majikan, umpamanya, mungkin boleh mengambil inisiatif untuk membenarkan pekerja bersosial seperti bertanya khabar atau adakan perbincangan ringan terlebih dahulu sebelum memulakan agenda penting dalam mesyuarat.
Langkah ini penting kerana ia berupaya memberi capaian terhadap hubungan sosial selain membantu membina kepercayaan antara majikan dan pekerja.
BACA: Hadkan penggunaan media sosial ketika PKP, bantu kurangkan kerisauan pandemik - Pakar
Bekerja dari rumah mungkin sedikit mencabar selang beberapa minggu sahaja lagi kerana terdapat beberapa perayaan utama yang akan disambut masyarakat seperti Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
Jadi, rancanglah jadual tugasan ‘bekerja dari rumah’ anda sebaik mungkin!
#Bekerja Dari Rumah #COVID19 #gaya hidup #kesihatan mental #konflik kerja dan keluarga #konflik peranan #perintah berkurung #PKP #PKPB #stres #tekanan #work from home
;