Anda lebih suka bersendirian dan tidak mahu bersosial lagi? Anda mungkin seorang hikikomori!
Agensi
Januari 2, 2020 22:38 MYT
Januari 2, 2020 22:38 MYT
ANDA sudah tidak mahu lagi menghabiskan waktu senggang bersama rakan-rakan ataupun malas untuk menyertai aktiviti masyarakat.
Anda memilih untuk duduk bersendiri di rumah tanpa diganggu sesiapa. Semuanya disebabkan anda sudah tiada semangat untuk melakukan apa-apa.
Berinteraksi dan bersosial sudah membuatkan anda rasa menyampah dan tidak menyenangkan.
Anda mungkin seorang hikikomori.
Hikikomori menurut Kementerian Kesihatan, Pekerja dan Kebajikan Jepun, merujuk kepada seseorang yang memencilkan diri di rumah selama sekurang-kurangnya enam bulan berturut-turut tanpa ke kuliah mahupun ke pejabat, serta sangat jarang berinteraksi dengan orang lain, selain ahli keluarga terdekat.
Trend hikikomori yang mengasingkan diri sepenuhnya daripada aktiviti sosial semakin bertambah di Jepun, sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Portal Japan Times melaporkan, pada Julai lalu, pakar psikiatrik Tamaki Saito, menyatakan bahawa Jepun mungkin mempunyai kira-kira 2 juta hikikomori, lebih daripada perangkaan rasmi kerajaan yang hanya mencatatkan 1.15 juta.
Menerusi kajiannya, Saito berkata dengan kewujudan hikikomori baharu dan yang lama pula masih meneruskan gaya hidup sebegitu, jumlah keseluruhan rakyat Jepun yang memilih kehidupan sedemikian boleh mencecah 10 juta orang.
Kajian sebelum ini mendakwa punca utama meningkatnya jumlah hikikomori di Jepun adalah kerana struktur sosial negara itu yang ketat, iaitu mendesak setiap orang supaya mematuhi norma sosio-ekonomi tertentu.
Mereka yang tidak mampu menjadi anggota masyarakat yang produktif, dan juga gagal mempunyai hubungan baik dengan hierarki di tempat kerja mahupun dalam strata masyarakat, akhirnya akan memencilkan diri kerana tekanan.
Seterusnya, kegagalan masyarakat Jepun memberi bantuan kepada individu yang terpinggir ini, telah meningkatkan jumlah hikikomori.
Walaupun penjelasan tentang kekurangan sistem sokongan itu boleh diterima, kajian itu bagaimanapun dilihat tidak memberi penjelasan yang jelas tentang bagaimana seseorang itu tegar memilih untuk menjalani kehidupan hikikomori.
Dalam usaha untuk kekal bertahan dalam hierarki masyarakat yang penuh stres, sesetengah hikikomori beranggapan bahawa manfaat menyertai interaksi sosial tidak cukup untuk mengatasi semua tekanan peribadi.
Lagipun, generasi hikikomori hari ini tidak berada dalam zaman kepayahan dari aspek ekonomi. Analisis menunjukkan bahawa kebanyakan daripada mereka adalah dari golongan kelas pertengahan, dengan ibu bapa yang masih mampu menjaga mereka.
Dalam era internet, sesetengah daripada golongan hikikomori ini mendapat upahan sampingan menerusi aktiviti dalam talian seperti pengaturcaran perisian. Dalam situasi seperti itu yang agak ‘selesa’, hikikomori itu tidak mempunyai sebab untuk kembali keluar ke dunia bermasyarakat.
Tinggallah mereka bersendirian dan memencil di rumah saja!