Anda kini boleh cuba bersembang dengan Gemini pada Google Message di Malaysia
Amanz
Mac 28, 2024 09:40 MYT
Mac 28, 2024 09:40 MYT
GOOGLE Gemini adalah chatbot AI oleh Google dengan model bahasa raya tersendiri. Mereka yang melanggan pelan Google One AI Premium akan dapat mengakses Gemini Ultra, pengguna percuma terhad kepada Gemini Pro dan Gemini Nano terbina dalam peranti Pixel dan Samsung terpilih. Terbaru, Gemini telah dibawakan kepada Google Message pula.
Sebelum ini, Gemini pada Google Message adalah Gemini Nano untuk memproses Smart Reply melalui Gboard. Kini chatbot Gemini itu sendiri terbina membenarkan pengguna bersembang dengan Gemini untuk bantu cipta senarai, merancang perjalanan balik kampung dan mendapatkan fakta lain dengan mudah dan pantas. Ciri ini terhad kepada pengguna Google Messages beta sahaja buat masa ini.
Bukan itu sahaja, ciri ini turut hanya boleh digunakan pada peranti terpilih iaitu Google Pixel 6 dan ke atas, Pixel Fold, Samsung Galaxy S22 dan ke atas serta mana-mana Samsung Galaxy Z Flip atau Z Fold. Ia juga hanya ditawarkan kepada 165 negara termasuk Malaysia tetapi masih tidak menyokong bahasa Melayu. Kemudian Google turut memberitahu yang akaun Google Workspace atau yang di dalam Google Family Link tidak boleh menggunakannya. Ciri ini turut memerlukan pengguna mengaktifkan RCS.
Gemini pada Messages berfungsi sama seperti chatbot di laman web Gemini, cuma ia tidak boleh menjana imej. Ia lebih mirip Chat Assist pada Galaxy AI untuk membantu cipta draf mesej dengan gaya bahasa unik, menjana cadangan makan malam yang spesifik atau bertanya pendapat kepada Gemini. Setiap sembang akan disimpan selama 72 jam atau pengguna boleh padam dengan sendiri.
Jika anda ingin cuba Gemini pada Google Messages, pastikan anda menggunakan peranti yang layak dan telah memasang aplikasi Google Messages versi beta yang boleh didaftar pada Play Store atau pemasangan melalui muat sisi.
SUMBER Google