Anak pulau redah lautan demi merasai suasana moreh di tanah besar
Nur Fazlizai Ali
April 8, 2024 10:15 MYT
April 8, 2024 10:15 MYT
KUALA TERENGGANU: Demi merasai suasana moreh di tanah besar sekumpulan anak muda dari Pulau Redang, di sini, sanggup meredah lautan lebih satu jam.
Tertarik dengan konsep santai dan klasik yang disajikan itu membuatkan 12 pemuda itu nekad berkunjung ke Bandaraya Kuala Terengganu untuk menjadi sebahagian daripada pengunjung.
Menurut Muhammad Nuriman Muhammad, 27, menyaksikan kemeriahan aktiviti moreh dan sahur dikongsikan pengunjung lain di media sosial membuatkan mereka tertarik untuk melihat dan merasai suasana itu.
Katanya di kawasan pulau terdapat juga aktiviti berbuka puasa dan moreh seperti ini dan lazimnya penduduk di pulau memilih kawasan jeti sebagai tempat bermoreh.
"Kalau di pulau suasana tidaklah semeriah lokasi moreh di bandar yang lengkap dengan pelbagai dekorasi dan tema yang diketengahkan termasuk ada peniaga yang memakai pakaian tradisional dan sebagainya.
"Jika sebelum ini kami hanya melihat menerusi media sosial yang dikongsikan rakan-rakan kali ini kami berpakat dengan kawan-kawan untuk merasai sendiri kemeriahan suasana dan aktiviti bermoreh yang menjadi tumpuan penduduk dikawasan tanah besar ini,"katanya ketika ditemui di Payang Walk,Kuala Terengganu.
Muhammad Nuriman berkata, dia bersama rakannya menghabiskan masa kira-kira dua jam bagi mengunjungi beberapa lokasi moreh yang popular di Bandar Kuala Terengganu sebelum kembali ke pulau.
Sementara itu, rasa yang sama turut dikongsi rakannya Muhammad Firdaus Haswadi, 23, yang menyifatkan perjalanan mereka meredah lautan untuk menyertai aktiviti moreh itu berbaloi selepas melihat sendiri suasana dan kemeriahan dengan mata sendiri.
Katanya, bukan sahaja suasana yang berbeza, malahan sajian makanan yang dijual juga sukar untuk ditemui di kawasan pulau seperti sushi, kopi nisang dan sebagainya.
"Ini merupakan pengalaman baharu buat saya... bukan sahaja dapat menikmati suasana moreh masyarakat di bandar malahan turut dapat merasai makanan yang sukar ditemui di tempat kami.
“Walaupun tidak lama tetapi ia cukup bermakna buat kami kerana dapat bermoreh sekali gus dapat mencipta kenangan bersama insan tersayang," katanya berkongsi kegembiraan.