Anak Malaysia pemenang MasterChef UK Champion of The Champions
Agensi
Januari 6, 2022 21:30 MYT
Januari 6, 2022 21:30 MYT
ANAK kelahiran Ipoh, Perak yang kini menetap di Bath, England, Ping Coombes melakar sejarah peribadi apabila dipilih pemenang program MasterChef UK Champion of The Champions, hujung minggu lalu.
Pada 2014, Ping memenangi MasterChef, menerusi menu masakannya yang berinspirasikan Malaysia.
Dia kembali untuk program yang diadakan sempena sambutan tahun baharu itu dan bersaing dengan beberapa bekas juara termasuk juara 2011 Tim Anderson, Saliha Mahmood Ahmed (2017), Kenny Tutt (2018) dan Irini Tzortzoglou (2019).
Ping menyifatkan kejayaan itu sebagai impian yang menjadi realiti.
"Kembali ke dapur MasterChef mengembalikan begitu banyak kenangan indah dan ia membuatkan saya berasa gembira.
"Saya meletakkan diri saya di sana sekali lagi, terbuka kepada kritikan jadi apabila menerima pujian, saya rasa sangat gembira," katanya.
Salah satu cabaran malam itu menyaksikan Ping memilih menyediakan masakan terkenal Malaysia iaitu nasi ayam claypot dan ais kacang, kedua-duanya dengan versi tersendiri, menampilkan meringue berperisa mawar dan mousse jagung.
Salah seorang juri, Gregg Wallace menyifatkan pencuci mulut itu sebagai 'benar-benar lazat', manakala John Torode, berkata masakan itu menonjolkan dua sisi berbeza Ping.
"Yang pertama adalah sisi yang sangat serius, sangat teknikal, manakala satu sisi lagi yang menyeronokkan. Masakannya hari ini sedap, tidak ada apa lagi boleh diperkatakan," kata Torode.