Anak 'Made in Malaysia' jadi kenangan terindah warga Rusia
Dr Azlinariah Abdullah
April 11, 2021 16:00 MYT
April 11, 2021 16:00 MYT
KUALA LUMPUR: Maxim Salnikov sudah berada di Malaysia sejak 2017 lagi. Tetapi kini warga Rusia berasal dari St Petersburg itu membilang hari untuk kembali ke tanah air selepas tugasannya di Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur berakhir minggu ini.
Akui sedih mahu meninggalkan bumi Malaysia, ada sesuatu yang membuatkannya bahagia selain ingatannya akan tetap kembali kepada Malaysia, walaupun selepas pulang bertugas di Rusia.
"Saya akan selalu ingat Malaysia kerana ada zuriat dilahirkan di sini, di Kuala Lumpur, ya, itu, barangkali kenangan terindah saya dikumpulkan di Malaysia. Setiap kali melihat Aksinia, pasti hati dan ingatan saya akan dihantar kembali ke Kuala Lumpur,'' kata Maxim semasa ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Aksinia, cerita Maxim, dilahirkan enam bulan lalu semasa Malaysia dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Menurut Maxim, sebulan sebelum PKP akibat COVID-19 bermula pada 18 Mac 2020, dia menjemput isterinya datang ke Malaysia untuk bersama-sama habiskan waktu-waktu terakhir tugasannya di sini.
"Apabila PKP bermula, COVID-19 pula menular pantas, rancangan semuanya bertukar. Saya dan isteri tersekat di sini. Isteri tidak dapat pulang ke Rusia, saya pula tidak boleh keluar dari Malaysia. Tetapi kami gembira menjalani hari-hari bersama walaupun tidak ke mana-mana,'' ujar Maxim, bertugas sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur.
Sempena tamatnya misi selama hampir lima tahun di Malaysia, Maxim diraikan dalam satu majlis perpisahan dihoskan oleh Duta Besar Rusia ke Kuala Lumpur, Naiyl Latypov di kediamannya di Jalan Ampang.
Majlis yang berlangsung dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat itu turut dihadiri Canselor Alexey Dobrinskiy, beberapa petugas kedutaan, rakan media dan wakil Wisma Putra.
Sementara itu, Maxim berkata, antara perkara yang mahu dilakukan semasa tugasannya di Malaysia, tetapi gagal ialah mendalami Bahasa Melayu.
"Inilah kekesalan saya, tidak dapat berbahasa Melayu semasa berada di Malaysia. Agak ramai juga rakan-rakan saya yang pandai berbahasa Melayu apabila ditugaskan di sini. Tetapi rutin tugasan saya memerlukan saya berbahasa Inggeris dan kebanyakan warga Malaysia pula fasih berbahasa Inggeris. Maka, keupayaan untuk berbahasa Melayu berkubur begitu sahaja,'' ujar Maxim yang berharap untuk bertugas semula di Kuala Lumpur jika diberi pilihan.
Maxim sebelum ini pernah ditugaskan di beberapa negara Asia termasuk Indonesia dan Thailand.
"Saya juga tidak sempat untuk menikmati keindahan beberapa pantai di Malaysia, termasuk yang paling saya mahu kunjungi Pulau Sipadan di Sabah dan Pulau Perhentian di Terengganu. Dan kerana itu, sentiasa ada sebab untuk saya ke sini lagi, sama ada untuk tugasan rasmi atau sebagai pelancong,'' tambah Maxim.
Maxim turut berharap, pandemik Covid-19 cepat berakhir supaya bukan sahaja ekonomi cergas semula, tetapi juga rangkaian hubungan sosial dapat diperkukuh.
#perintah kawalan pergerakan
#SOP
#Rusia
#Malaysia
#PKP
#Melayu
#Wisma Putra
#misi di Malaysia
#warga Rusia