Amalan makan bersama faktor perpaduan di rumah panjang
Bernama
November 11, 2023 04:45 MYT
November 11, 2023 04:45 MYT
SIBU: Amalan makan bersama yang dipraktikkan oleh masyarakat rumah panjang di Sarawak dilihat menjadi faktor memupuk dan mengeratkan perpaduan dalam institusi keluarga dan masyarakat di wilayah itu.
Aniz Azalia Neel Azwar yang mengikuti program Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2023 bertemakan 'Melestarikan Agenda Perpaduan Negara' di Rumah Bagol Tom, Nanga Sekeranji, Machan, Kanowit berpendapat amalan tersebut adalah sesuatu yang boleh diterapkan dalam kalangan penduduk di Semenanjung.
Katanya, banyak keluarga di Semenanjung mempunyai masalah untuk meluangkan masa dengan anak-anak dan tidak makan bersama berikutan kesibukan bekerja.
"Kalau kat sini kita diterapkan untuk makan bersama. Kita akan tunggu orang lain walaupun seorang, sebelum boleh mula makan," katanya ketika ditemui Bernama di rumah panjang tersebut pada Sabtu.
Mahasiswi tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan Universiti Malaya yang berasal dari Perak itu menceritakan kesemua 16 peserta program itu akan duduk dalam bulatan bersama keluarga angkat ketika waktu makan dan akan menunggu sehingga semuanya sudah ada sebelum bersama-sama menjamah hidangan.
Itu adalah amalan hormat-menghormati antara satu sama lain yang diamatinya setelah enam hari berkampung di rumah panjang moden itu.
Malah menurutnya, penduduk rumah panjang itu ramai yang mempunyai menantu dari kaum dan agama lain seperti Cina, Melayu dan orang Semenanjung dan mereka katanya tidak mempunyai masalah untuk hidup bersama walaupun berbeza latar belakang.
Bagi pelajar Diploma Akauntansi Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak, Mohammad Hafiz Najmi Mohd Syariff pula, perpaduan yang erat di sebalik perbezaan yang ada itu benar-benar wujud di Sarawak.
Menceritakan pengalaman dia dan rakan-rakannya mencari makanan di kedai-kedai makan, terdapat peniaga Islam dan bukan Islam berniaga makanan di bawah satu bumbung.
"Di kedai makan ada kedai Muslim ada kedai bukan-Muslim. Tiada perbalahan di Sarawak. Alhamdulillah, ini satu pengalaman yang menarik yang boleh dibawa dan diceritakan di Semenanjung," katanya yang juga berasal dari Perak.
Sebelum sampai di Rumah Bagol, Aniz dan Mohammad Hafiz menyangka rumah panjang tersebut masih menggunakan binaan kayu dan tradisional namun sangkaan itu adalah meleset kerana rumah panjang itu diperbuat daripada batu-bata dan moden.
"Mula-mulanya saya ingatkan di rumah panjang ini semuanya tradisional tapi kita lihat elemen tradisional dan moden itu bergabung jadi satu. Itu sesuatu yang saya tak jangka berlaku tapi saya dapat lihat di depan mata masih mengekalkan tradisi di sebalik kemodenan yang ada," ujar Mohammad Hafiz.
Banyak yang dipelajari oleh peserta misi dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta selama tempoh tersebut.
"Kami belajar mengenai warisan mereka seperti pakaian tradisional lelaki dan wanita, makanan tradisional, lauk pauk tempatan di samping anyaman dan alat-alat muzik tradisional," kata Aniz yang begitu gembira menerima hadiah bakul anyaman (raga) dari ibu angkatnya di rumah panjang itu.
Program Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2023 yang bermula 3 hingga 16 Nov melibatkan penyertaan 95 siswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Peserta-peserta misi tersebut yang ditempatkan di enam kawasan di Sarawak iaitu Sungai Maong di Petrajaya; Machan di Kanowit; Daha di Serian, Ba'kelalan di Lawas; serta Long Laput dan Long Kevok di Telang Usan melakukan kerja-kerja sukarela di kawasan terbabit.
Program itu merupakan antara inisiatif di bawah flagship Kembara Perpaduan Kementerian Perpaduan Negara sebagai melestarikan perpaduan untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum mengenai kepelbagaian khazanah warisan negara. - BERNAMA