Alunan muzik kini hanya kenangan di Ampang Park
Bernama
Januari 1, 2018 04:00 MYT
Januari 1, 2018 04:00 MYT
Alunan muzik yang merdu kini hanya menjadi kenangan bagi Love Music Center (M) Sdn Bhd yang memutuskan untuk menutup perniagaannya yang telah beroperasi selama 44 tahun dalam persekitaran perniagaan mencabar, apabila pusat membeli belah tertua di Malaysia, Ampang Park, ditutup semalam bagi memberi laluan kepada pembinaan stesen Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) Ampang.
Suasana perniagaan di hari-hari terakhirnya telah mengimbau semula kenangan manis bagi pemiliknya, yang hanya mahu dikenali sebagai Ong, 67, dan isterinya Tina, 64, yang melihat pelanggan datang memberi sokongan kepada mereka.
Ditubuhkan pada 1974, Love Music bergerak seiring dengan evolusi industri muzik bermula daripada rekod vinil, kaset, cakera padat (CD) hinggalah kepada cakera optik digital (DVD).
Ong melahirkan kesedihannya melihat pusat membeli belah itu bakal dirobohkan tidak lama namun merasa gembira kerana ia telah memberi khidmat beberapa generasi selama bertahun-tahun ini.
Mengimbau semula kenangan manis semasa zaman kegemilangan di Ampang Park, Ong, yang memulakan perniagaannya sebelum beliau mendirikan rumah tangga dengan Tina, berkata perniagaan kedainya sangat baik pada masa itu.
"Margin sangat bagus, sewa murah iaitu kira-kira RM20 hingga RM30 sekaki persegi dan ramai pelanggan tempatan dan asing yang datang ke kedai dan membeli rekod, kaset dan CD/DVD tulen.
"Tetapi sekarang, dengan perubahan masa dan kemunculan teknologi digital serta pautan laman web yang memuat turun lagu atau album secara percuma, kedai kami semakin kurang dikunjungi pelanggan tidak seperti dahulu," kata Ong sambil menambah beliau membeli kedai itu selepas 15 tahun menjalankan perniagaan.
Ketika penyewa lain berusaha mencari tempat untuk memindahkan perniagaan mereka, Ong, sebaliknya berkata beliau tidak bercadang untuk meneruskan perniagaan kedai muzik itu.
"Kami akan menutupnya buat selama-lamanya, kerana jika kami berpindah ke tempat lain atau gedung membeli belah sebagai contohnya, sewa agak tinggi, kami tidak boleh meneruskan kelangsungan hidup dan tambah lagi kami terpaksa bersaing dengan trend industri muzik pada masa kini.
"Melainkan jika kami mencatatkan jualan tinggi, yang mana ia agak mustahil. Kami pernah mempunyai tiga cawangan di Lembah Klang, tetapi dengan sewa tinggi kira-kira RM7, 000 hingga RM8, 000 sebulan, kami tidak mampu menampungnya dan semuanya terpaksa ditutup satu demi satu," katanya.
Ong berkata beliau masih ingat pada era 1990an iaitu pada tahun 1996 apabila kumpulan nasyid Raihan muncul dengan album pertamanya yang menjadi album paling laris apabila terjual lebih 600,000 unit di seluruh negara.
"Ia adalah saat yang sangat menggembirakan apabila orang datang tanpa henti membeli sama ada kaset, CD atau DVD kumpulan nasyid itu terutamanya pelanggan Muslim. Kami akan merindui saat-saat itu," kata Ong.
Sementara itu, seorang pelanggan tetap, Nor Faridah Abdul Rashid, yang biasanya datang membeli CD di Love Music berkata beliau sering berkunjung ke kedai itu kerana persekitarannya yang selesa ditambah dengan kakitangannya yang ramah.
"Saya biasa datang ke sini sejak lewat 1980-an dan sejak itu setiap tiga bulan sekali dan selepas saya mendapat gaji, pasti saya akan singgah ke kedai muzik itu untuk membeli CD terbaharu.
"Saya akan merindui tempat itu kerana ia memiliki CD genre kegemaran saya," ujarnya.
Tinjauan hari akhir Bernama mendapati Pusat membeli belah Ampang Park masih lagi sibuk pada malam Tahun Baru dengan pengunjung datang berkunjung buat kali terakhir di samping mengambil kesempatan daripada pelbagai promosi untuk memberi barangan yang dijual dengan harga yang murah.
Tidak dinafikan penutupan Ampang Park amat pahit bagi ramai orang tetapi dalam masa yang sama ia merupakan satu simbol kemajuan yang bermakna kita memberi laluan kepada suatu yang lebih bermakna dan lebih baik bagi negara.
-- BERNAMA