Alta Moda ketengah jenama fesyen tempatan bertaraf global

Nickyson Nyambar
Mac 6, 2019 06:15 MYT
Alta Moda akan berlangsung di Dewan Undangan lama di Kuching bermula 7 hingga 9 Mac.
Tahun Melawat Sarawak 2019 semakin rancak dengan adanya pelbagai aktiviti yang telah dirancang.
Pertunjukan fesyen Alta Moda yang berlangsung mulai 7 hingga 9 Mac juga tidak ketinggalan di dalam menyemarakkan lagi tahun yang istimewa buat Bumi Kenyalang ini.
Tema Redefining Lifestyles digunakan buat pengajuran kali ini. Semestinya, ia memberi mesej jelas bahawa ini merupakan salah satu usaha untuk mentransformasikan gaya hidup dari segi fesyen.
Ia juga membuka peluang buat rakyat tempatan supaya tidak mengehadkan penerimaan seni agar bakat tempatan tidak takut untuk berkarya.
Bukan sekadar seni dan fesyen, Alta Moda juga turut memberi fokus kepada kebajikan melalui #amscsrawareness iaitu satu kolaborasi bersama Persatuan Disleksia Sarawak, sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat projek ini.
Dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak serta Sarawak Tourism Board (STB), Alta Moda pastinya akan memberi impak yang besar terutamanya buat penggemar fesyen dan bakat baru di Sarawak.
Jika dilihat, ramai bakat hebat di Sarawak yang masih perlu diketengahkan. Karya yang ditonjolkan boleh dikatakan setaraf dengan industri fesyen antarabangsa.
“Saya merasa teruja melihat ramai bakat muda dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Limkokwing University mereka pakaian yang elegan untuk Alta Moda," kata model dan ratu cantik, Francisca Luhong yang juga bakal berjalan di pentas runway Alta Moda.
Antara jenama yang terlibat dengan Alta Moda adalah Paul Carling, Wan Bynun, Anna Sue, Ben Nazry, Gavroche by Arzmy Hargreaves, Embun, Louisa Michael, Aiman Zaini, WYNKA, Keith Sim, Anannasa and Bon Zainal.
Alta Moda juga turut mencari pereka baru. Pemenang akan berpeluang mewakili Sarawak ke New York Fashion Week akhir tahun ini.
#Alta Moda #fesyen #More to discover #pelancongan #Sarawak #Seni #Visit Sarawak 2019
;