Alif Hadi akan mencabar juara di Johor Baharu
Ian Johan Ariff
September 30, 2013 18:28 MYT
September 30, 2013 18:28 MYT
Pelakon dan bintang Fear Factor Selebriti Malaysia, Alif Hadi mengesahkan penyertaan untuk pusingan ketiga Liga Mini Ramp Adrenalin DC Sabtu ini (5 Oktober).
Perkara itu disahkan menerusi akaun instagram rasminya selepas disoal mengenai kehadiran Alif ke Johor Bahru.
Alif menyertai kategori skateboarding memberikan persembahan terbaik pada pusingan kedua di Kuantan bulan lalu namun permainannya sedikit terganggu akibat tidak cukup rehat.
Selain menyertai Adrenalin DC, Alif juga akan terus mempromosi program Fear Factor Selebriti Malaysia di Astro Planet Gempak yang turut berlangsung pada lokasi dan hari yang sama.
Dalam pada itu, juara-juara pada pusingan pertama di Batu Kawan Pulau Pinang dan pusingan kedua di Kuantan bagi kategori BMX dan skateboarding turut mengesahkan penyertaan mereka untuk pusingan ketiga di Angsana Johor Bahru.
Mereka adalah juara pusingan pertama kategori skateboarding, Azreen Azman dan juara pusingan kedua di Kuantan, Arina Rahman.
Juara BMX, Raja Ahmad Ashahri turut mengesahkan penyertaannya sejak pusingan kedua di Kuantan lagi.
Begitu juga dengan ‘rider’ kebangsaan, Zafrin Shah Sabikin yang menjanjikan aksi lebih baik dan mengurangkan tekanan emosi ketika mempamerkan aksinya.
Pada pusingan pertama, tekanan emosi dan cuaca yang panas menyebabkan Zafrin membaling basikalnya sehingga terkena tangan dan kamera jurukamera kami, Ab Uzza Ab Latiff.
Pusingan ketiga Liga Mini Ramp Adrenalin DC akan berlangsung di Angsana Johor Bahru pada 5 dan 6 Oktober 2013.
Saksikan aksi Azreen, Alif, Raja Ahmad dan Zafrin dalam episod kedua Liga Mini Ramp Adrenalin DC pada pautan dibawah.