Alena Murang... Ini duta penghubung budaya Malaysia dengan masyarakat luar

Nickyson Nyambar
Disember 10, 2020 09:27 MYT
Lain dari yang lain, penceritaan dalam pembikinan video muzik Midang Midang membuktikan karya bergenre etnik dan kontemporari mampu mencapai standard antarabangsa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Bakat tempatan memainkan peranan penting sebagai penghubung dalam berkongsi keunikan budaya Malaysia kepada masyarakat luar.
Kata pemuzik dan pemain sape berbakat besar kelahiran Sarawak, Alena Murang, kemenangannya baru-baru ini menerusi lagu tradisi, Midang Midang dalam Anugerah Penggayaan Terbaik Festival Video Muzik Bueno Aires 2020 sekali gus memberinya peluang untuk bercerita kepada dunia tentang tempat kelahirannya menerusi pembikinan karya lagu-lagu tradisional.
Ujar gadis kelahiran Kelabit–Itali ini dalam satu perkongsian eksklusif bersama Astro AWANI, membesar dengan latar belakang berbeza menjadi satu kelebihan buat dirinya untuk memahami budaya dan adat resam yang ada di dunia.
BACA: Midang Midang karya Alena Murang menang Anugerah Penggayaan Terbaik di Argentina
“Ia satu perjalanan yang panjang buat saya. Saya belajar sape selama 20 tahun. Jadi saya belajar secara berperingkat.
“Bagaimana untuk berkomunikasi dengan orang luar yang langsung tidak tahu apa-apa berkenaan budaya kita dan saya rasa perkara ini satu kelebihan untuk saya memperkenalkan budaya kita. Saya juga datang dari keluarga campur.
“Jadi apabila saya ke luar negara, saya akan bercakap dan melakukan persembahan (dalam cara tersendiri), saya anggap orang luar tidak tahu mengenai Sarawak, Borneo, Malaysia.
“Dalam usaha untuk memperkenalkannya, semua bergantung dengan cara penceritaan dan komunikasi, seterusnya visual,” ujarnya.
Dari perspektif itu tambah Alena, dia berani mengembangkan seni muzik sape dengan menonjolkan sisi urban dan kontemporari terutama dalam pembikinan video muzik dan karya kreatif yang lain.
Perkara ini sekali gus menolak tanggapan orang ramai bahawa pembawaan instrumen etnik harus bersifat tradisional semata-mata, kongsinya pada Rabu.
“Jadi apa yang kami tonjolkan dalam pembikinan video muzik Midang Midang, dari segi penggayaannya, solekan, lokasi dan kumpulan, semuanya dirancang.
“Apa yang kami ingin tampilkan menerusi penggayaan, kami ingin menonjolkan masyarakat Sarawak bersifat kontemporari. Kita bukan primitif yang sering mengenakan kain pelikat, kostum lama. Kita berjiwa moden dan urban,” jelas Alena.
#Alena Murang #Anugerah Penggayaan Terbaik Festival Video Muzik Bueno Aires #Sarawak #Midang Midang
;