Aktres Thailand iklan diri pada 'billboard' demi mencari calon suami

Madiha Abdullah
April 9, 2016 16:14 MYT
Pui mahu berkahwin dan sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan calon suami.Foto/Facebook
DALAM zaman kecanggihan teknologi, mungkin perkara biasa apabila kita mendengar cerita mencari pasangan melalui laman sosial atau aplikasi di telefon pintar.
Facebook, Instagram, malah aplikasi Tinder menjadi medium yang cukup popular untuk mempertemukan jodoh dua individu.
Namun apa yang dilakukan oleh aktres Thailand ini agak luar biasa sehingga menjadi bualan ramai.
Pui Aranya, 40, mengiklankan dirinya pada papan iklan di bandar Lat Phrao, Bangkok.
Iklan ala korporat itu turut menyertakan gambar serta teks berbunyi "40 tahun dan masih perawan. Pui Aranya perlukan suami sebelum mati."
Portal Daily Mail UK melaporkan, aktres itu memberitahu dia sangat serius dengan perkara tersebut.
Hasil carian di laman sosial menunjukkan Pui sebenarnya berusia 45 tahun dan dikategorikan dalam pelakon kelas B.
Laporan media tempatan menyebut Pui sudah putus asa kerana masih gagal bertemu jodoh walaupun telah berusaha dengan pelbagai cara.
Namun begitu, iklan itu dilapor telah diturunkan dan agensi pengiklanan terbabit dikenakan denda 500 baht (RM55) kerana menaikkan iklan kurang sopan.
#aktres kelas b #aplikasi tinder #cari jodoh #masih perawan #pelakon wanita Thailand #Pui Aranya
;