Aktif kongsi ilmu di TikTok, Mohd Nazrul kini genggam Ijazah Sains Pertanian
Bernama
Disember 6, 2024 06:20 MYT
Disember 6, 2024 06:20 MYT
KUALA LUMPUR: Bekerja dalam bidang akademik serta aktif berkongsi ilmu berkaitan pertanian di aplikasi TikTok, menyuntik semangat Mohd Nazrul Anis untuk terus menimba pengetahuan dalam bidang berkenaan hingga berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
Penolong Pegawai Pertanian di Fakulti Pertanian UPM berusia 32 tahun itu yang ditemui selepas Majlis Konvokesyen UPM ke-48 pada Jumaat, berkata beliau belum puas dengan pencapaiannya dan sentiasa berazam untuk menambah ilmu tentang pertanian ke peringkat lebih tinggi.
"Saya menyambung pengajian bukan sekadar untuk menambah kelayakan tetapi untuk memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran agar seiring antara teori dan praktikal.
"Pekerjaan saya dalam persekitaran akademik juga menyebabkan saya mahu menjadi contoh kepada pelajar dan rakan sekerja. Saya yakin ilmu dalam bidang pertanian ini sangat luas dan masih banyak yang perlu diterokai," katanya.
Mengulas mengenai usahanya memanfaatkan platform TikTok untuk berkongsi ilmu pertanian, Mohd Nazrul berkata beliau mahu memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang berkenaan yang kaya dengan inovasi dan teknologi.
"Bukan semua orang sedar betapa pentingnya pertanian dalam kehidupan kita terutamanya isu keterjaminan makanan negara, ia kini menjadi isu perbincangan global dan akan menjadi ancaman jika tidak diatasi.
"Masyarakat juga perlu ubah persepsi bahawa bertani itu kotor dan penat. Menerusi teknologi moden, pertanian boleh jadi sesuatu yang menarik dan menjana pendapatan lumayan," katanya sambil memaklumkan idea untuk berkongsi ilmu di TikTok itu adalah cetusan isterinya Noreena Abd Rahman.
Beliau berkata ia bermula apabila isterinya melihat koleksi gambar dan video tanaman serta berkaitan pertanian di telefon bimbitnya.
"Isteri cadangkan agar saya gunakan gambar dan video itu untuk buat TikTok, dari situ saya mula memberanikan diri menghasilkan kandungan berkaitan tanaman kontan untuk mendidik masyarakat," katanya.
-- BERNAMA