Akok durian pesara tentera laku keras

Bernama
Julai 30, 2024 09:00 MYT
Akok durian yang dijual Abd Malik pada harga RM5 sebiji di Kampung Baru, Kuala Lumpur, menjadi hidangan unik dan menarik perhatian termasuk pelancong, hingga ia turut tular di media sosial. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketibaan musim durian memberi pendapatan tambahan buat peniaga akok, Abd Malik Abd Hamid apabila setiap hari akok duriannya laris dijual dan terus mendapat permintaan daripada orang ramai.
Abd Malik, 64, berkata, dia mula membuka gerainya pada pukul 7 pagi dan berjaya menjual semua kuih tradisional itu yang menggunakan 100 ulas durian premium seperti Musang King, D24 dan Udang Merah dalam tempoh empat jam.
Beliau yang juga seorang pesara tentera berkata, pemilihan durian premium dibuat atas beberapa faktor, antaranya tekstur yang lembut, berwarna kuning keemasan dan bentuknya yang tidak berair berbanding durian kampung.
"Pada permulaan iaitu tahun lepas (2023), saya ambil sedikit isi durian saja dengan menggunakan sudu untuk diletak di dalam setiap bancuhan kuih akok yang separuh masak, tapi saya berpandangan cara yang demikian tidak memuaskan.
"Sehinggalah dua bulan lepas saya ubah dengan meletakkan seulas durian bagi sebiji akok dan ia nampak lebih menonjol. Pelanggan yang membelinya pula lebih seronok dan puas hati," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kini, akok durian yang dijual Abd Malik pada harga RM5 sebiji di Kampung Baru di sini menjadi hidangan unik dan menarik perhatian termasuk pelancong hingga ia turut tular di media sosial.
Selain akok durian, Abd Malik yang dibantu oleh isterinya, Saniah Mohammed Salim, 40, turut menjual akok lain seperti akok pandan, akok berlauk, akok gula kabong dan bingka kelapa.
Ditanya mengenai bagaimana dia boleh bertahan hampir 15 tahun berniaga akok secara tradisional di ibu kota hingga kini, Abd Malik berkata ia adalah kerana minat mendalam terhadap kuih tradisi itu yang sudah ada berzaman lamanya.
"Sebelum berpindah ke Kampung Baru, saya menjual akok di AU2, Taman Keramat dan pernah melalui pasang surut dalam perniagaan ini termasuk tiada pembeli, ratusan biji akok tidak habis dijual dan untung pula tidak banyak.
"Pun begitu, saya tak tinggal (menjual), saya yakin suatu hari nanti orang akan pandang dan menghargai kuih akok ini seperti mana apa yang saya capai hari ini," katanya yang turut melakukan kerja lain seperti pengawal keselamatan secara sambilan.
-- BERNAMA
#akok durian #durian premium #Kampung Baru #peniaga akok
;