Akibat perintah berkurung, chef tawar khidmat masakan mewah di rumah pelanggan

Reuters
April 24, 2021 05:30 MYT
Kebanyakan restoran di Paris terpaksa ditutup disebabkan peningkatan kes jangkitan COVID-19. - Foto Reuters
PARIS: Warga Paris yang merindukan santapan masakan restoran atau hotel mewah sejak wabak COVID-19 memaksa penutupan operasi restoran kini menemui alternatif baharu.
Alternatif itu ialah chef persendirian yang menyajikan makanan di rumah pelanggan.
Seorang chef pelatih, Fatiha El-Kaddaoui mengambil tempahan daripada pelanggan persendirian.
Dia membawa bahan-bahan masakan ke rumah pelanggannya dan menggunakan peralatan mereka untuk menyedia dan menyajikan hidangan berkualiti seperti restoran mewah.
Kini khidmat chef persendirian dilakukan Fatiha mendapat sambutan ramai sehingga setiap bulan dia terpaksa menolak anggaran sebanyak 30 tempahan.
"Ada permintaan yang sangat besar, permintaan ini wujud kerana mereka ialah pelanggan yang mengunjungi restoran satu, dua, tiga kali seminggu atau lebih," katanya seperti dipetik Reuters.
Fatiha berkata, dia beroperasi menurut peraturan COVID-19 ditetapkan dengan tidak memberi perkhidmatannya kepada lebih daripada enam orang serta tidak bekerja selepas 7 malam.
Perkhidmatannya untuk makan sebelah siang bagi dua orang berharga 170 Euro (RM841).
Minggu lalu, Fatiha ditempah oleh Valerie Lacroix, 35, untuk menyediakan makan tengahari untuk dia dan ibunya.
"Kami sudah tentu ingin keluar berjumpa dengan rakan dan keluarga menghabiskan masa dengan mereka, tetapi kami tidak dapat lakukanya.
"Ini menciptakan momen bersama di rumah," kata Lacroix.
Pengusaha restoran dan chef di seluruh dunia mencari kaedah kreatif untuk terus bekerja ketika pandemik yang telah menjejaskan industri mereka.
Sesetengah membuat makanan berkualiti tinggi untuk penghantaran sementara yang lain menawarkan kelas memasak di media sosial.
Menurut Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, warga Perancis menghabiskan lebih banyak masa untuk makan dan minum berbanding negara membangun lain.
Justeru itu, penutupan restoran akibat COVID-19 menyebabkan mereka sangat terjejas.
Beberapa pelanggan telah melanggar sekatan COVID-19 dan polis menangkap lebih daripada 110 orang yang makan di restoran secara rahsia di Paris awal bulan ini.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#Paris #COVID-19 #pandemik #Fatiha El-Kaddaoui #restoran mewah #hotel mewah #Perancis