Akhirnya Boy pergi jua
Madiha Abdullah
Februari 17, 2018 10:49 MYT
Februari 17, 2018 10:49 MYT
IA bertahan kerana kasih sayang manusia. Berkali-kali hampir tewas, ia 'kembali' kerana kuatnya semangat sang pemilik yang tidak pernah berputus asa mahu melihat ia sihat.
Namun sudah tiba masanya, ia harus pergi meninggalkan semua yang menyayanginya.
Abamboy, kucing istimewa yang selama ini sering menyentuh hati pengguna media sosial dengan telatahnya, mati pada petang Jumaat, selepas lebih tujuh tahun bertahan dengan pelbagai penyakit yang dihidapinya.
Menerusi beberapa status di Facebook Abamboy & Friends yang mempunyai lebih 19,000 pengikut, pemiliknya, Fatirah Daemi, sejak beberapa hari lalu memuat naik status berkongsi keadaan kesihatan Abamboy yang semakin merosot.
Ketika dihubungi, Fatirah memaklumkan Abamboy, atau mesra dipanggil Boy, berkali-kali diserang sawan dan tidak sedarkan diri sejak minggu lalu.
Malah ketika dibawa ke klinik Rabu lalu, doktor menyarankan agar si comel kesayangannya itu dimatikan (put to sleep) melalui kaedah eutanasia kerana jangkitan kuman di otaknya telah menyebabkan organ itu tidak lagi berfungsi.
Namun cadangan itu ditolak Fatirah, sebaliknya dia bertegas agar Boy cuba diselamatkan.
"Saya dah lama reda kalau Boy pergi. Tapi kalau Boy masih nak bertahan, walaupun hanya kepala yang mampu bergerak, saya akan terus jaga dia," kata Fatirah sambil memberitahu, kehilangan Boy sangat dirasai dia dan keluarga.
Fatirah, yang muncul dalam salah satu episod Paws Planet yang disiarkan di Astro AWANI tahun lalu bersama Boy, pernah memaklumkan Boy sebelum ini berkali-kali jatuh sakit teruk dan dicadangkan agar dimatikan.
Pun begitu, setiap kali situasi itu berlaku, Boy akan kembali sihat selepas beberapa hari, membuatkan dia membulatkan tekad untuk tidak akan sesekali 'mematikan' Boy.
Tambah Fatirah lagi, kesihatan Boy yang selama ini turun naik, mula merosot sejak 26 Januari lalu.
Boy yang dipelihara Fatirah lapan tahun lalu, memiliki pelbagai masalah kesihatan, antaranya kegagalan fungsi buah pinggang yang membuatkannya tidak dapat mengawal pembuangan najis dan terpaksa dipakaikan lampin.
Fatirah juga mengirimkan ucapan terima kasih kepada mereka yang selama ini banyak membantu memberi sokongan dan sumbangan untuk kos perubatan Boy.
"Terima kasih kepada mereka yang selama ini berada di sisi Boy, dan memberi kekuatan kepada saya untuk menjaganya. Jasa anda akan sentiasa saya kenang," ujarnya.
#Abamboy
#boy
#Facebook
#kegagalan buah pinggang
#kesihatan
#kucing
#mati
#media sosial
#Paws Planet