Akaun Facebook dikemaskini dengan peranti yang disangka sudah hilang
Syafique Shuib
Ogos 21, 2015 08:01 MYT
Ogos 21, 2015 08:01 MYT
NATHAN Buhler dari Kanada tidak peduli untuk mencari peranti beliau apabila ia jatuh di Sungai Bow, Calgary.
Namun, beliau terkejut apabila status Facebooknya dikemaskini menerusi peranti yang difikirkan sudah hilang dan rosak itu.
Lapor CBC News, Buhler sedang berakit di sungai Bow dan apabila muzik dari perantinya terhenti, beliau menyedari bahawa ia sudah jatuh di sungai itu.
“Saya tidak peduli untuk mencari. Kalau saya dapat jumpa pun, ia pasti sudah rosak,” katanya.
Hampir dua minggu kemudian, sebuah pasukan bomba yang berakit di sungai yang sama jumpa peranti berkenaan dan mereka terus mengeringkan ia selama 30 jam.
Seteleh berjaya menghidupkan semula peranti berkenaan, pasukan bomba itu gagal untuk menghubungi Buhler.
Jadi, mereka tiada pilihan selain memuat naik gambar di akaun Facebook milik Buhler menggunakan peranti berkenaan.
Gambar pertama yang dimuatnaik adalah gambar pasukan bomba dengan kapsyen: “Kami telah jumpa telefon awak dan ia berada di stesen bomba.”
Buhler ternyata terkejut dengan gambar itu dan tidak sangka peranti itu masih berfungsi.
Sementara menunggu untuk Buhler mengambil balik telefon beliau, pasukan bomba berseronok dengan peranti berkenaan dengan merakam beberapa gambar yang lucu, seperti seolah ia sedang bersenam dan bermain ping pong.
“Terima kasih kepada pasukan bomba Calgary untuk bukan sahaja menyelamatkan nyawa. Mereka juga berseronok dengan peranti itu dan ramai yang suka,” tulis Buhler di Facebook.