'Akan, inum, idur, ayang': Pelat, normalkah?

Farhana Joni
Julai 5, 2020 12:55 MYT
Saringan boleh dibuat di Bahagian Otorinolaringologi bagi mengenal pasti masalah pelat. - Gambar FREEPIK.
"Akan, inum, idur, ayang". Perkataan-perkataan ini lazimnya disebut dalam kalangan bayi berusia setahun hingga kanak-kanak seawal tujuh tahun.
Semua perkataan itu sebenarnya merujuk kepada makan, minum, tidur dan sayang. Perbezaan yang terjadi pada bunyi sebutan itu lazimnya dipanggil pelat. Persoalannya, adakah pelat itu normal?
1. Bagaimana pelat boleh terjadi?
Menurut Dr Madhya Zhagan, pelat adalah hasil daripada pergerakan bibir, mulut dan lidah yang mempunyai kaitan dengan saraf neurologikal.
2. Adakah pelat normal dan boleh berlaku sehingga individu meningkat dewasa?
Jelas Pensyarah Kanan dan Penasihat Klinikal di Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaya itu, ia bergantung pada apa yang diwarisi.
"Pelat itu normal atau tidak, bergantung pada apa yang diwarisi, bukan muncul tiba-tiba," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
3. Bolehkah pelat dirawat?
Sudah tentulah boleh! Pertama sekali, mereka perlu membuat saringan di Bahagian Otorinolaringologi (ENT) sebelum pakar pertuturan mengesan huruf dan bunyi yang mana sukar dilakukan seperti B, P, D dan Q.
Seterusnya intervensi dijalankan mengikut suku kata seperti KV, KVK, KVKV dan KVKVK. Apabila kanak-kanak berjaya menyebut semua suku kata tersebut bermakna pelatnya boleh dibetulkan dan dikurangkan.
4. Apakah faktor lain yang mempengaruhi seseorang itu pelat?
Menurut Dr Madhya Zhagan, persekitaran dan budaya antara faktor lain yang menyebabkan pelat boleh berlaku seperti dalam kalangan masyarakat Kelantan dan Pulau Pinang.
"Di Kelantan misalnya, belakang disebut belake manakala di Pulau Pinang air disebut 'ayak'," katanya.
Di samping itu, penempatan kanak-kanak di tadika turut mempengaruhi pertuturan seseorang.
"Misalnya, enam bulan di tadika komersial yang fokus pada pembacaan lancar sedangkan kanak-kanak tidak bersedia lagi atau ke tadika yang berkonsepkan agama yang menyebabkan kanak-kanak itu ketinggalan sampai masuk ke sekolah.
"Apabila di sekolah, kanak-kanak berkenaan terus dilabel sebagai disleksia, sedangkan jika diberi latihan sempurna mereka bukan mengalami masalah tersebut," katanya.
5. Apa peranan ibu bapa dan masyarakat sekeliling?
Jelas Datin Prof Dr Mariani Md Nor, ibu bapa kena main peranan yang penting agar apa yang ditutur dalam setiap sebutan adalah betul.
"Sebutan yang bukan ala-ala manja yang sering menjadi kebiasaan dalam budaya masyarakat kita kerana kesannya akan menyebabkan anak-anak terikut," kata Pengarah di Pusat Penyelidikan Pendidikan awal Kanak-Kanak di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya itu.
#Datin Prof Dr Mariani Md Nor #Dr Madhya Zhagan #normal #Pelat #Pengarah di Pusat Penyelidikan Pendidikan awal Kanak-Kanak di Fa #Pensyarah Kanan dan Penasihat Klinikal di Jabatan Pendidikan Psi #rawatan
;