AirAsia tawar menu nasi lemak dua kali saiz
Nabilah Khaleeda
Mac 22, 2024 09:00 MYT
Mac 22, 2024 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan dalam penerbangan, Santan memperkenalkan Nasi Lemak Pak Nasser Terpaling Istimewa (Double Special), hidangan ikonik yang kini bersaiz dua kali ganda berbanding asal.
Menurut kenyatan yang dikeluarkan AirAsia, tawaran ini memberikan kegembiraan dan kepuasan berganda untuk semua peminat nasi lemak ini.
"Di atas permintaan yang memberangsangkan pelanggan setia AirAsia, Santan telah menggandakan saiz Nasi Lemak Pak Nasser tanpa menjejaskan rasa hidangan ikonik ini.
"Setiap suapan kini menawarkan kuantiti berganda rendang ayam, sambal dan telur rebus dilengkapi dengan kacang tanah serta ikan bilis digoreng rangup yang mentakrifkan hidangan klasik kegemaran Malaysia ini.
"Bukan itu sahaja, setiap hidangan Nasi Lemak Pak Nasser Terpaling Istimewa ini didatangkan dengan elemen tambahan sate ayam yang lazat, menjadikannya satu set yang amat berbaloi dan mengenyangkan, namun untuk masa terhad sahaja," tambahnya.
Nasi Lemak Pak Nasser Terpaling Istimewa ini dijual pada harga RM23 untuk penerbangan AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) dan RM30 untuk penerbangan AirAsia X (kod penerbangan D7).
Sempena bulan Ramadan yang mulia ini juga, Santan teruja memperkenalkan satu set istimewa yang dinamakan 'Bazar Santan di Langit'.
"Ia adalah sebuah kombo yang mengandungi Nasi Lemak Pak Nasser Terpaling Istimewa, pilihan minuman sejuk yang menyegarkan dan pilihan kuih tradisional yang lazat (Bingka Ubi atau Tepung Pelita), dan kurma segar.
"Semuanya disajikan dalam sebuah kotak bawa pulang edisi terhad yang menarik. Dengan tambahan hanya MYR5, tetamu boleh menikmati set istimewa ini yang menawarkan nilai terbaik dan mengenyangkan," katanya.
Pengurus Besar Santan, Catherine Goh berkata, mereka komited untuk terus berinovasi dan meningkatkan tawaran, menggembirakan pelanggan AirAsia yang dihargai merangkumi bukan sahaja rakyat Malaysia, malah pengembara serata dunia.
"Tahun lalu, kami memperkenalkan Nasi Lemak Pak Nasser berasaskan tumbuhan (vegetarian) yang telah mendapat sambutan baik dan terus menjadi salah satu item terlaris dalam menu kami.
"Selain itu, pada tahun 2022, kami menawarkan 'Ais Krim Nasi Lemak,' yang menjadi satu pencuci mulut sensasi," jelas Catherine.
Tambah Catherine, Santan berhasrat menawarkan satu lagi varian nasi lemak dan mempertahankan reputasi mereka sebagai penyedia nasi lemak terbaik, di darat dan di angkasa.
Dalam pada itu, para pelanggan digalakkan untuk membuat tempahan makanan dalam talian sebelum penerbangan untuk memastikan pilihan anda tersedia pada hari penerbangan, sekali gus akan dilayan lebih awal.
Semua hidangan Santan disahkan Halal, dihasilkan dan dibungkus secara bersih, mematuhi piawaian keselamatan makanan yang ketat.