Air Terjun Bengoh... belum ramai yang tahu keistimewaannya
Astro Awani
Ogos 15, 2020 09:00 MYT
Ogos 15, 2020 09:00 MYT
INGIN lari dari kesesakan dan hiruk pikuk bandar?
Daerah Padawan di Kuching, Sarawak ada destinasi alam semula jadi yang boleh dikunjungi pada hujung minggu dikenali sebagai Air Terjun Bengoh.
Sejauh satu jam perjalanan dari ibu negeri, Air Terjun Bengoh sering menjadi tumpuan mereka yang gemarkan ekspedisi serta pendakian di hutan belantara sambil menikmati keindahan flora dan fauna yang mengasyikkan.
Dengan bayaran RM50, pengunjung akan dibawa menyeberangi kawasan tadahan air empangan Bengoh seluas 127 kilometer persegi sebelum meneruskan perjalanan kira-kira 4.7 kilometer ke hilir air terjun.
Bagi mereka yang menggemari pendakian lasak, trek laluan air terjun Bengoh mempunyai cabaran tersendiri yang mampu menguji ketahanan fizikal dan mental pengunjung.
Sebahagian laluannya adalah curam dan untuk ke sana, mereka perlu melalui titian jambatan gantung yang terletak pada paras ketinggian 10 meter.
Bagi salah seorang pengunjung dari Kapit, Nicholas Pinen, dia mengakui sangat kagum dengan panorama Air Terjun Bengoh.
"Ini kali pertama saya datang di sini, dan pemandangannya amat santai serta indah.
"Kawasan ini ada keistimewaannya tersendiri, seperti tasik buatan yang sangat menakjubkan," katanya.
Menurut pemandu pelancong Wes Tami pula, kawasan tersebut ditemui sekitar tahun 1999 oleh dirinya dan penduduk kampung berdekatan.
Melihat kepada potensi besar kawasan itu sebagai destinasi ekopelancongan, mereka giat menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk menyediakan laluan sesuai untuk pengunjung.
“Ketika itu jalan yang ada adalah laluan yang biasa dilalui oleh penduduk kampung untuk ke pekan berhampiran.
"Laluan dahulu sangat teruk, oleh itu saya bersama penduduk memperbaiki laluan agar pengunjung dapat melaluinya secara selesa," kongsinya kepada Astro AWANI.
Kini, beritahunya lagi, kawasan tersebut dilengkapi kemudahan asas seperti pondok istirehat, laluan berkayu dan tandas awam.
Menurut Wes, selain air terjun utama, terdapat juga beberapa air terjun kecil yang boleh disinggah sama ada untuk bergambar, mahupun untuk menyejukkan diri seketika.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementeriannya sedang merancang pelan pembangunan ekopelancongan yang sesuai untuk Air Terjun Bengoh.
“Kita bekerjasama dengan majlis-majlis daerah untuk mengenal pasti kawasan-kawasan berpotensi. Wakil rakyat tempatan di Bau dan di Bengoh, Padawan juga akan memberi maklum balas berkenaan perkara itu,” jelasnya.
Tambah beliau, aspek keselamatan dan kebersihan akan menjadi faktor utama untuk dinilai bagi menaik taraf kawasan tersebut kerana berdekatan dengan empangan Bengoh.