Aidilfitri: Tangani soalan 'panas', tetap matlamat komunikasi menggembirakan

Madiha Abdullah
April 10, 2024 12:00 MYT
Menetapkan matlamat komunikasi yang menggembirakan boleh menjadi jawapan kepada persoalan tentang bagaimana untuk menangani soalan sensitif. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri kebiasaannya sinonim dengan soalan-soalan bersifat peribadi yang diutarakan apabila berkumpul bersama keluarga.
Dengan alasan sekadar perbualan kosong, namun tanpa sedar, ia mengguris hati, seterusnya mengganggu emosi dan merosakkan silaturrahim.
Menetapkan matlamat komunikasi yang menggembirakan boleh menjadi jawapan kepada persoalan tentang bagaimana untuk menangani soalan sensitif, terutamanya semasa sambutan Aidilfitri.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan (UPNM), Prof. Datuk Dr Mohd Fadzil Che Din berkata, lima aspek yang perlu diberi fokus dalam penghasilan komunikasi berkesan dan menggembirakan ialah siapa, apa yang diperkatakan, individu terlibat, cara dan kesannya.
"Paling utama, apa yang aku kata, apa yang aku nak cerita, skrip yang macam mana, kepada siapa, bagaimana cara dan kesannya.
"Jadi kalau kesan yang kita mahukan adalah kesan positif dan menggembirakan, kena letakkan dalam fikiran, jangan ganggu perasaan orang lain, jangan usik jiwa mereka sebab kita beraya setahun sekali, kita nak seronok," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelasnya, komunikasi tanpa objektif bukan saja akan menjejaskan mood hari raya, malah berpotensi mencetuskan perbalahan dan salah faham.
"Masyarakat kita hari ini bukan gagal berkomunikasi, tetapi mereka hanya ada ilmu komunikasi yang kasual. Dia tak peduli, asalkan dapat bersembang, mengusik, itu sudah cukup.
"Sejak kebelakangan ini kita nampak makin ramai yang suka buat prank. Prank itu salah satu contoh komunikasi kasual. Apabila terlalu kasual, ia akan mengundang bencana, kena berhati-hati," tambahnya.
Katanya, mentafsirkan isu sensitif tidak mudah, kerana ia bergantung kepada apa yang dinilai sebagai sensitif oleh seseorang individu, yang kemungkinan berbeza antara satu dengan yang lain.
Apatah lagi dewasa ini, generasi muda khususnya dilihat semakin kurang kapasiti untuk menggunakan akal budi atau common sense dalam menangani hubungan sosial.
"Generasi hari ini kebanyakannya tidak lagi terikat dengan nilai institusi keluarga dan komuniti, sebaliknya mereka terikat dengan nilai media sosial. Interaksi melalui skrin telefon beri impak besar sehingga akal budi sudah tidak dapat digunakan sepenuhnya.
"Media sosial tak ajar akal budi, ia beri feed back. Ini kerana akal budi memerlukan feed forward, bermakna sesuatu yang kita harus tanggap semula atau review. Generasi sekarang tak ada nilai itu," tegasnya.
Justeru, beliau melihat pelaziman jawapan 'savage' atau kasar seperti yang dianjurkan sesetengah pihak, kononnya dengan niat untuk mematikan persoalan, hanya akan memberi implikasi negatif terhadap karakter seseorang individu.
Tegasnya, nilai adab dan agama perlu dijadikan sebagai paksi bagi memandu arah perbualan yang menjurus ke arah isu sensitif, supaya bukan sahaja maruah terjaga, tetapi juga emosi sendiri dan orang lain.
"Anak muda harus faham ada beberapa nilai yang kita utamakan. Apa sekali pun, kena ingat kita ada agama. Apa yang diajarkan agama takkan berubah.
"Kalau agama kata jangan biadab, maka jangan biadab. Hak orang lain perlu dihormati, termasuklah hak mereka untuk tidak disakiti," ujarnya.
#Aidilfitri #komunikasi #keluarga #Hari Raya Aidilfitri
;