AI bantu pekerja, bukan gantikan mereka - Gary Shapiro

Bernama
Januari 8, 2025 04:30 MYT
Matlamat AI bukan untuk menggantikan manusia tetapi meningkatkan kualiti kehidupan kerja dengan melengkapkan tugas tertentu. - Gambar hiasan
LONDON: Revolusi kecerdasan buatan (AI) akan mengubah pasaran pekerjaan tetapi memberi impak positif yang besar kepada manusia dan pekerjaan, menurut eksekutif di pameran teknologi CES.
Konvensyen tahunan di Las Vegas itu didominasi oleh produk dan perkhidmatan yang menampilkan alat berasaskan AI, namun sesetengah pengkritik teknologi bimbang keupayaan automasi AI akan mengambil alih pekerjaan manusia.
Tokoh kanan sektor teknologi menegaskan yang matlamat AI bukan untuk menggantikan manusia tetapi meningkatkan kualiti kehidupan kerja dengan melengkapkan tugas tertentu agar pekerja dapat memberi tumpuan kepada perkara lain, sama ada secara profesional atau peribadi.
Gary Shapiro, Ketua Eksekutif Persatuan Teknologi Pengguna yang menganjurkan CES, memberitahu agensi berita PA, ketika AI membentuk semula industri, pekerjaan dan set kemahiran juga akan berkembang serta membuka peluang baharu.
"Pasti akan ada kesan terhadap pekerjaan, baik positif mahupun negatif. Kesan positifnya adalah mengambil alih pekerjaan yang manusia tidak mahu lakukan dan memberikan kita kehidupan yang lebih lama dan sihat. Ia akan mengelakkan nahas jalan raya dan mengurangkan penderitaan manusia, tetapi kemahiran baharu diperlukan untuk mencipta pekerjaan baharu," katanya.
"Sebagai contoh, dalam industri automotif apabila kita beralih kepada kenderaan pandu sendiri yang sebahagian daripada AI generatif, akan wujud pekerjaan untuk mencipta persekitaran dan kenderaan baharu. Ia akan mencipta kenderaan pandu sendiri yang boleh dibeli atau disewa, yang menyediakan hiburan atau pendidikan, mengikut keperluan.
"Model perniagaan baharu akan muncul dan ini termasuk perkhidmatan membersihkan kereta. Pasaran kereta sewa juga akan berubah. Ini adalah perkara yang baik kerana pekerjaan berbeza akan muncul.
"Manusia akan mempunyai lebih banyak masa lapang dan kita akan mencari cara baharu untuk mengisinya. Saya percaya manusia mempunyai keperluan asas untuk menjadi produktif dan membantu."
Awal minggu ini, Sam Altman Ketua OpenAI yang membangunkan ChatGPT, melahirkan keyakinannya yang syarikat itu sudah mampu mencipta apa yang dikenali sebagai kecerdasan buatan umum iaitu tahap AI canggih yang mampu melebihi manusia dalam kebanyakan bentuk pekerjaan.
Sementara itu, CES turut mempamerkan demonstrasi daripada syarikat yang menggunakan AI untuk menjadikan peralatan rumah lebih berguna dan membantu secara autonomi.
Ketua Pegawai Pelanggan Samsung UK, Deborah Honig berkata gergasi teknologi itu memberi tumpuan kepada alat untuk menyelaraskan tugas harian pengguna.
Dalam tempoh 12 bulan lalu, syarikat itu telah memperkenalkan beberapa ciri AI untuk peranti mudah alihnya yang membantu pengguna mengatur e-mel dan kalendar dengan lebih baik, serta alat penulisan dan penyuntingan.
Selain itu Samsung juga mengumumkan pengenalan AI ke dalam televisyennya, menjadikannya hab rumah pintar utama untuk isi rumah.
Beliau menambah bahawa peningkatan penggunaan alat AI dalam kehidupan seharian boleh mewujudkan "kesaksamaan peluang" dalam mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan, bukan sahaja untuk wanita, tetapi juga golongan muda yang baru memulakan kerjaya.
-- BERNAMA
#revolusi AI #kecerdasan buatan #Gary Shapiro #Pekerja
;