Adakah saya masih berkemungkinan sebarkan COVID-19 selepas divaksinasi?
Agensi
April 2, 2021 13:39 MYT
April 2, 2021 13:39 MYT
ADAKAH saya masih boleh menyebarkan virus COVID-19 walaupun selepas divaksinasi?
Ya, mungkin. Pakar kesihatan berkata kemungkinan itu rendah, namun mereka masih memantau sejauh mana suntikan vaksin mampu melemahkan virus tersebut, lapor AP.
Setakat ini, vaksin yang diguna pakai di seluruh dunia mempunyai keberkesanan tinggi untuk mencegah orang ramai daripada menanggung simptom atau sakit yang serius apabila dijangkiti COVID-19.
Namun, walaupun mereka yang sudah divaksinasi tidak jatuh sakit, mereka masih boleh dijangkiti tanpa menunjukkan sebarang simptom.
Maka, pakar kesihatan yakin bahawa vaksin COVID-19 boleh mengekang kemungkinan orang ramai menyebarkan virus itu.
“Seseorang yang sudah divaksinasi mempunyai daya kawalan lebih baik ke atas virus itu, maka kemungkinan menyebarkannya kepada orang lain dapat dikurangkan dengan banyak,” ujar pakar virus di fakulti perubatan, University of Maryland, Dr Robert Gallo.
Antara buktinya setakat ini, sebuah kajian mendapati, sekiranya seseorang itu kembali dijangkiti COVID-19 selepas divaksinasi, mereka mempunyai jumlah virus korona yang hanya sedikit di dalam bahagian hidung berbanding mereka yang belum divaksinasi. Ini menjadikan proses jangkitan lebih sukar dan terkawal.
Jawapan kepada persoalan tersebut adalah berdasarkan sebuah kajian di Amerika Syarikat ke atas kumpulan penuntut universiti yang secara sukarela menjalani ujian calitan setiap hari.
Mengambil kira aspek ketidakpastian dan kehadiran lebih banyak varian baharu yang lebih ‘kuat’, pakar kesihatan sependapat bahawa mereka yang sudah divaksinasi perlu terus memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal di tempat awam, dan juga ketika melawar orang lain yang belum divaksinasi terutamanya yang berisiko tinggi.
“Kita masih perlu berjaga-jaga. Vaksin memang perlu, namun ia bukan penawar menyeluruh yang membebaskan kita daripada epidemik selanjutnya,” jelas Gallo.
Beberapa faktor lain juga memberi kesan terhadap kemungkinan orang yang sudah divaksinasi untuk menjangkiti orang lain. Ini termasuk kadar vaksinasi dalam komuniti dan sama ada berlaku lonjakan kes setempat.
“Kita mahu berfikir ia sama ada semua (terkena) atau langsung tidak ada, namun semua itu bergantung pada situasi,” ujar pakar penyakit berjangkit dai University of Michigan, Dr, Laraine Lynn Washer.