Adab di pagi 1 Syawal

Astro Awani
April 21, 2023 23:00 MYT
Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya dan bagi imam solat hari raya, sunat datang akhir iaitu ketika hendak memulakan solat hari raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: PEJAM celik, pejam celik Ramadan akhirnya tiba di penghujung.
Barangkali, ramai yang bersetuju bahawa masa berlalu begitu pantas sekali. Rasanya, seperti baru semalam kita memulakan Ramadan 1444 Hijrah.
Dan esok (Sabtu), umat Islam di negara ini akan meraikan kedatangan 1 Syawal iaitu hari kemenangan selepas selesai mengerjakan ibadah puasa selama sebulan.
Kegembiraan untuk menyambut Syawal sudah mula dirasakan sejak seminggu lalu. Umat Islam sibuk membuat pelbagai persiapan terutamanya menyiapkan pakaian baharu, menyediakan kuih-muih, menghias rumah dan meneruskan tradisi balik kampung.
Dalam bergembira menanti kedatangan Hari Raya Aidilfitri, ada baiknya kita sama-sama kembali segarkan ingatan kita pada hal yang dituntut untuk dilakukan di pagi 1 Syawal.
Rencana ini kami petik daripada tulisan di ruangan Bayan Linnas dari portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Berikut petikan daripada artikel berkenaan:
Antara adab pada hari raya:
* Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baharu. Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya iaitu Ibn Umar dan Ali bin Abi Thalib dan lain-lain. Said bin al-Musayyib berkata: “Sunat-sunat hari raya ada tiga: “Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi.”
* Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya. Bagi imam solat hari raya, sunat datang akhir iaitu ketika hendak memulakan solat hari raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
* Sunat makan sedikit makanan sebelum pergi bersolat Aidilfitri, manakala Aidiladha pula tidak disunatkan makan dan minum sehingga selesai solat.
* Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis, daripada jabir R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيْدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya: “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya.”
Riwayat al-Bukhari (943)
* Sunat saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Hal ini berdasarkan hadis Wasilah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya, seraya mengucapkan kepada Baginda: تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu), lalu Baginda menjawab: Ya, تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu).
* Selepas matahari terbit, makruh bagi imam bersolat sunat sebelum solat hari raya, manakala tidak makruh bagi orang lain melakukannya. Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:
أَنَّ النَّبِىَّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهُمَا وَلَا بَعْدَهُمَا
Maksudnya: “Nabi SAW keluar pada hari Aidilfitri, lalu Baginda bersolat hari raya sebanyak dua rakaat dan tidak melakukan solat yang lain sama ada sebelum atau selepasnya.”
Riwayat al-Bukhari (945)
Kesilapan adab pada hari raya
Kami sengaja menyebut beberapa kesilapan adab yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW ketika kita rancak menyambut hari raya. Antara adab tersebut ialah:
* Tidak melakukan solat hari raya dan tidak pergi ke tempat solat, sebaliknya hanya berada di rumah.
* Banyak menonton rancangan televisyen sehingga tiada dalam kamusnya untuk menziarahi sanak saudara. Hal ini semakin membarah kerana tarikan rancangan yang begitu menarik lagi melalaikan.
* Tidak menutup aurat atau berpakaian yang menjolok mata tanpa mengikut syariat Islam.
* Memasang lagu-lagu dan nyanyian hari raya yang kurang sopan dan berlebih-lebihan dalam berhibur atas nama hari raya. Alangkah baiknya jika digantikan dengan alunan zikir, nasyid dan nyanyian sopan yang tidak keterlaluan.
* Pergi beraya di rumah rakan-rakan dalam tempoh masa yang amat panjang sehingga mengganggu tuan rumah.
* Mengkritik makanan yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan makanan antara satu rumah dengan rumah yang lain.
* Meminta duit secara berlebih-lebihan sehingga perasaan tuan rumah tertekan dan tidak selesa.
* Bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau berkumpul setempat sehingga timbul perasaan kurang selesa pada golongan yang beragama.
* Pergi beraya di rumah seseorang sehingga lupa untuk menunaikan solat fardu dan melambatkan solat pada waktunya.
* Lupa menziarahi golongan fakir miskin dan anak yatim, tetapi matlamatnya lebih kepada rumah bangsawan dan hartawan.
* Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak lagi mampu untuk menunaikan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.
* Kurang bersedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim serta mereka yang berada dalam kedaifan.
* Berlebih-lebihan dalam berpakaian sehingga menampakkan kemewahan yang melampau hingga membawa perasaan takbur, riak dan sombong.
* Berkumpul secara beramai-ramai tanpa faedah dan tidak menghiraukan orang lain.
* Terlupa untuk menziarahi pesakit di hospital atau mereka yang mengharapkan bantuan sebaliknya kita menyibukkan diri dengan kegembiraan yang melampau bersama rakan taulan yang sihat.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Minal ‘aidin wal faizin.
(Artikel asal boleh dibaca di sini)
#Hari Raya Aidilfitri #adab di pagi 1 Syawal #Solat sunat Aidilfitri #Puasa 2023
;