Ada yang anggap Lisa berubah kerana suami, saya cuma restu - Datuk Yusry
Pa and Ma
Ogos 27, 2022 10:02 MYT
Ogos 27, 2022 10:02 MYT
PENGHIJRAHAN Datin Lisa Surihani mendapat perhatian ramai. Banyak yang memuji penampilannya sekarang yang cukup manis berhijab. Selain itu, pelakon cantik ini juga banyak menghadiri kelas agama bersama rakan-rakan selebriti yang lain.
Suaminya, Datuk Yusry Abdul Halim memberitahu penghijrahan Lisa adalah kehendak dirinya sendiri. Dia juga tidak pernah menghalang atau memaksa isterinya untuk melakukan penghijrahan sebesar itu.
Melalui artikel di xtra, Yusry mengatakan setiap perubahan Lisa bukan disuruh tetapi sebagai suami dia merestuinya.
“Semuanya atas kehendak dia. Itu apa yang dia mahu. Kalau ada orang kata, dia pakai tudung sebab suami yang suruh buat apa?
"Jadi, itu yang dikehendakkan. Dia buat itu dan ini (belajar agama) kerana Allah SWT, jadi saya restu. Itu je.”
Kini Lisa sudah jarang menerima tawaran berlakon di atas kehendak dirinya juga. Tambah Yusry, itu adalah pilihan isterinya untuk kurangkan berlakon.
Yusry turut memberitahu setiap apa keputusan isterinya tidak dilarang melainkan perkara yang tidak elok. Namun katanya, dia bersyukur dengan setiap perubahan Lisa.
Penyanyi dan pengarah terkenal ini juga tidak mahu mengambil ‘kredit’ di atas penghijrahan isterinya.
“Ada segelintir warganet yang beranggapan penghijrahan Lisa ini adalah kerana suami, walhal saya hanya merestui apa yang dibuat oleh isteri saya.
“I don’t want to take credit for benda-benda yang orang lain buat. Macam ada orang kata, baguslah Yusry pandai jaga dan didik isteri.
“Saya cuma merestui dan it’s all about communications.”
Bercerita tentang keputusan Lisa untuk berhijab, Yusry memberitahu ia berlaku semasa mereka baru pulang dari mengerjakan umrah. Lisa ada menyuarakan hasratnya untuk memakai hijab sebelum menunaikan umrah dan meminta pendapatnya.
Tidak mahu memaksa, Yusry mengatakan jika sudah tiba masa dan isterinya itu mahu berhijab, buatlah. Namun Yusry menitipkan pesanan agar isterinya memakai hijab bukan kerana mahukan pujian atau perhatian orang.
Tidak mahu isterinya melakukan penghijrahan mengenakan hijab kerana orang lain, Yusry tidak mahu suatu hari nanti isterinya buka tudung semula.
“Jadi benda tu saya dah nasihatkan dan make sure it is final. So, bila balik umrah tu Lisa kata Yes! It is final. Jadi, Alhamdulillah.”
Melihat penghijrahan Datin Lisa Surihani sememangnya memberi inspirasi kepada kita semua. Dengan sokongan dari suami, mudah-mudahan Lisa dan kita semua yang melakukan perubahan terbaik dalam hidup akan terus bersemangat dan istiqamah.
Sumber: xtra
Artikel asal disiarkan di Majalah Pa&Ma