Ada 'ride' ke bro?
Afiezy Azaman
Ogos 22, 2020 10:21 MYT
Ogos 22, 2020 10:21 MYT
TIDAK kira sama ada memiliki motosikal ‘kapcai’ atau berkuasa tinggi, jika anda kaki ‘ride’ dan sering kali mengikuti konvoi bersama rakan-rakan sudah pasti tempat-tempat menarik ini pernah dikunjungi anda.
Tempat menarik, makanan dan minuman yang sedap, pemandangan cantik dan ada kawan untuk bersembang mengenai dunia permotoran serta hal duniawi yang lain itu sudah cukup pakej yang diperlukan untuk seorang ‘kaki ride'.
Senang saja untuk mengetahui sama ada ini lokasi tumpuan ‘kaki ride’ atau tidak, di setiap lokasi itu akan ada beberapa buah papan yang memberi ruang kepada ‘rider’ untuk menampal pelekat (sticker) kumpulan masing-masing.
Menuju destinasi pantai timur misalnya, tempat pertama yang wajib 'ditawan' ialah Lemang To‘Ki.
Kedai makan ini sememangnya terkenal dengan lemangnya yang enak jadi tidak perlu nak tunggu raya baru boleh makan lemang.
Kedai makan yang terletak di Bentong itu mengambil masa 45 minit jika anda dari Tol Gombak dan waktu operasinya bermula dari pukul 7 pagi hingga 9 malam dan hanya ditutup pada setiap hari Isnin.
Selain keenakan makanan yang disajikan, keunikan kedai makan itu yang dilitupi pepohon dengan suasana yang menyenangkan juga antara faktor ‘kaki ride’ ke situ.
Selain itu, keramahan pemiliknnya, Mazlan Ramli setiap kali turun padang menjadi resepi yang mengikat hubungan baiknya dengan setiap pelanggan.
Cukup pasal lemang, sekarang kita konvoi ke Paroi, Negeri Sembilan untuk ‘pekena’ Kopi Manshor yang menjadi kegilaan ‘rider seMalaya’.
Gerai Mr. Manshor Kopitiam ini sebenarnya sangat popular di Paroi dan sangat senang untuk dicari kerana hanya bersebelahan jalan besar dan kemudahan parkir disediakan.
Terdapat pelbagai jenis kopi yang disajikan kepada pelanggan membuatkan ia menjadi destinasi wajib singgah sekiranya melalui Paroi.
Kedai kopi ini dibuka pada pukul 4 petang sehingga 2 pagi dan ditutup pada hari Selasa sahaja.
Kita masih berkonvoi di Paroi, selepas Kopi Pak Manshor di Paroi juga terdapat kedai roti john yang menjadi tempat ‘lepak’ rider pada waktu malam.
Antara menu yang wajib cuba ialah Roti John Cheese Kambing kerana dengan hanya memesan satu menu dua orang pun cukup makan dan tak menyesal sebab puas hati dan sedap.
Restoran ini memang popular di Seremban dan sentiasa penuh manakala waktu operasinya bermula pukul 5 petang hingga 3 pagi.
Tempat keempat yang menjadi tumpuan geng motosikal adalah Nasi Bamboo Sungai Klah yang terletak di Kampung Buloh Telor, Sungkai, Perak.
Lokasinya mudah dicari kerana hanya melalui susur keluar Lebuhraya Plus ke Sungai, Trolak.
Antara menu yang terkenal di sini seperti keli goreng panas, ayam kampung serabut, daging masak hitam, gulai kawah dan paling popular ialah daging salainya.
Senang cerita restoran ini menghidangkan lauk campur.
Selepas letih menyelusuri jalan raya, di sinilah tempat untuk makan dan berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju.
Tempat ini memang popular dalam kalangan geng motor dari Lembang Klang.
Waktu operasinya bermula 10.30 pagi hingga ke 6 petang setiap hari kecuali hari Jumaat.
Tempat terakhir yang menjadi tumpuan ‘rider’ ialah Bukit Fraser yang sememangnya terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan jalan yang berbengkang-bengkok.
Selalunya para ‘rider’ akan menaiki Bukit Fraser pada sebelah pagi untuk menikmati kedinginan angin pagi yang menusuk hingga ke tulang-temulang seluruh badan.
Mengapa Bukit Fraser? Selain flora dan fauna serta angin yang sejuk, keadaan jalan yang mencabar daya tahan seorang ‘rider’ juga menjadi punca kawasan ini perlu ditakluki kepada sesiapa yang gemar bermotosikal.
Tapi perlu diingatkan, sekiranya anda pergi pada sebelah malam, ia agak berbahaya kerana jalan yang gelap serta sempit.
Sampai di puncak, perkara pertama yang wajib adalah bergambar di tengah-tengah bulatan yang tertera nama Bukit Fraser itu sendiri sebelum meneruskan dengan pelbagai aktiviti yang ada di sana seperti Flying Fox, menunggang kuda, memanah, lihat burung dan banyak lagi aktiviti lain yang boleh dibuat di situ.
Sebagai rumusan, sebetulnya banyak lagi tempat menarik yang menjadi tumpuan kaki ‘ride’ seperti Kuala Klawang, Cameron Highland, Sate Tulang Senawang, Kari Kambing 40 hari, Ikan Bakar Parameswara, Asam Pedas Laksamana.
Cuma di setiap destinasi itu akan membawa 1001 cerita pengalaman berkonvoi bersama rakan-rakan atau solo kerana bagi seseorang ‘rider’ berada di atas motosikal sepanjang menyelusuri perjalanan sebelum sampai ke destinasi memberi ketenangan tersendiri.
Baca saja tidak mencukupi, perlu menikmati sendiri perjalanan merentas negeri untuk sampai ke setiap destinasi yang mempunyai tarikan yang pelbagai.
Apa lagi, ada ‘ride’ ke bro……?
* Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#berkuasa tinggi
#Bukit Fraser
#destinasi wajib tawan
#Gerai Mr Manshor
#kapcai
#konvoi
#Lemang To Ki
#mat motor
#motosikal
#Nasi Bamboo Sungai Klah
#permotoran
#Roti John Cheese Kambing
#tempat menarik