Ada keperluan perhalusi had umur persaraan
Bernama
Mei 12, 2023 08:00 MYT
Mei 12, 2023 08:00 MYT
PADA usia 61 tahun, Muhammad Badrul Jamil sepatutnya sudah boleh berehat bersama keluarga, pergi melancong ke mana-mana sahaja tanpa perlu memerah otak memikirkan pelbagai tugasan mahupun arahan daripada majikan setelah bersara wajib enam tahun lepas.
Namun, beliau yang berasal dari Negeri Sembilan dan pernah bertugas sebagai pegawai bank di salah sebuah institusi kewangan di ibu negara sebelum ini, memilih untuk terus bekerja sebaik sahaja bersara pada usia 55 tahun.
Memilih kerjaya sebagai perunding kewangan, bapa kepada enam orang anak ini menyifatkan keputusannya untuk terus berkhidmat bukanlah disebabkan faktor kewangan tetapi lebih kepada ingin berkongsi pengalaman serta kepakaran setelah berkecimpung sekitar 30 tahun dalam industri perbankan dan kewangan.
"Selepas bersara pada usia 55 tahun, saya masih lagi beminat dan berupaya untuk bekerja. Kebetulan ada peluang baik di tempat lain selepas bersara di tempat lama, jadi saya rebut peluang itu.
"Saya lihat ini sebagai peluang yang baik untuk saya kembangkan lagi karier saya dalam industri ini selain mahu terus kekal aktif walaupun sudah bersara," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Hakikatnya, bukan hanya Muhammad Badrul sahaja pesara yang ingin terus tersenarai dalam statistik jumlah pekerja negara. Berdasarkan satu kajian yang dibuat oleh universiti tempatan, realitinya masih ramai lagi kalangan mereka dalam lingkungan umur berkenaan kekal komited untuk bekerja.
Kajian bersama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Oktober 2021 di bawah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), UM, membabitkan tempoh hampir setahun mendapati, sebanyak 4.3 peratus daripada 5,277 responden yang berumur 60 tahun ke atas mempunyai pekerjaan sambilan selepas bersara dan majoritinya adalah dalam kalangan pesara berkemahiran tinggi.
RAMAI INGIN KEMBALI
Pensyarah kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, UM, Dr Elya Nabila Abdul Bahri yang terlibat dalam kajian berkenaan berkata, responden yang berumur lingkungan 60 hingga 65 tahun yang berkemahiran tinggi, berkeinginan untuk terus bekerja berbanding mereka yang berkemahiran sederhana dan rendah.
"Hasil kajian saya bersama seorang pensyarah UKM berkaitan penuaan dan persaraan turut menunjukkan, faktor gaji serta tuntutan kerja fizikal yang minimum antara faktor yang mendorong mereka untuk terus bekerja di samping lebih suka bekerja secara fleksibel tanpa terikat dengan pelbagai peraturan di tempat kerja.
"Mereka yang kembali bekerja ini mempunyai tahap kesejahteraan 5.6 peratus lebih tinggi berbanding golongan pesara yang tidak bekerja dari segi kesihatan, psikososisal dan daya berfikir," katanya.
Justeru, beliau berpandangan, sebelum memutuskan untuk meningkatkan had umur persaraan kepada 65 tahun, majikan perlu bersedia dan merancang jenis pekerjaan yang sesuai mengikut tahap keupayaan pekerja selain kumpulan umur berkenaan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.
Ini kerana kebanyakan masyarakat masih mempunyai stigma mereka yang mencapai usia 65 tahun adalah tidak sesuai lagi untuk bekerja kerana dikaitkan dengan faktor kesihatan yang merosot.
Sebelum ini, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mencadangkan supaya pekerja sektor awam dan swasta di negara ini dibenarkan bekerja sehingga umur 65 tahun atas kerelaan sendiri.
Langkah ini bertujuan mengurangkan tekanan ekonomi rakyat selain memberi manfaat kepada majikan kerana mempunyai tenaga kerja yang berpengalaman untuk jangka masa lebih lama.
Menurut Elya Nabila, ada kewajarannya cadangan itu diperhalusi memandangkan terdapat kumpulan berusia tersebut berhadapan masalah kewangan setelah bersara terutama pekerja swasta yang bergantung sepenuhnya dengan simpanan mereka di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas bersara.
Apatah lagi, media sebelum ini melaporkan sebanyak 71 peratus atau lebih dua pertiga ahli yang aktif mencarum KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah, berada dalam situasi serius yang mana jumlah dana tidak mencukupi untuk bersara, melebihi paras kemiskinan.
JEJAS PELUANG PEKERJAAN?
"Berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jangka hayat penduduk negara ini meningkat sehingga 75.6 tahun bagi bayi yang lahir pada tahun 2021 atau 12 tahun lebih lama berbanding lima dekad yang lalu, namun kadar kesuburan di Malaysia menunjukkan trend penurunan.
"Keadaan ini akan mempengaruhi umur persaraan awal kerana jumlah golongan muda yang bekerja sebagai pembayar cukai adalah berkurangan berbanding pesara yang akan menerima manfaat daripada cukai yang dibayar oleh golongan pekerja," katanya.
Jika tempoh persaraan tidak dilanjutkan, negara menurut Elya Nabila berkemungkinan akan berhadapan dengan jumlah pekerja yang semakin berkurangan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada tahun 2022 dipetik berkata, Malaysia dijangka mencapai status negara menua menjelang tahun 2030 dengan peratus penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15.3 peratus daripada jumlah penduduk.
Namun begitu, pelanjutan umur persaraan tidak menjejaskan peluang pekerjaan golongan muda kerana keupayaan kemahiran digital dan teknologi terkini yang dimiliki masih mendapat tempat dalam sektor pekerjaan.
Tambahan pula, golongan muda mempunyai masa yang lebih lama untuk berada dalam perkhidmatan dan mencapai tahap kerjaya yang diinginkan jika umur persaraan mereka dilanjutkan.
Oleh yang demikian, menurut Elya Nabila, pekerja perlu diberi hak untuk menentukan tempoh persaraan bergantung kepada tahap kesihatan dan kemampuan bekerja kerana mereka dapat menilai sendiri akan keupayaan masing-masing.
Sementara itu, pensyarah kanan Faktulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn (UHTM) Prof Madya Dr Nor Hazana Abdullah tidak bersetuju dengan pandangan pesara yang kembali bekerja akan menyekat peluang kenaikan pangkat tertinggi dalam sesebuah organsasi.
Sebaliknya, beliau berkata, situasi ini akan mewujudkan perkongsian strategik antara pekerja berusia dan muda dari segi pengalaman dan juga kepakaran sekali gus memberi ruang kepada golongan muda untuk belajar daripada pekerja yang berpengalaman dan berusia.
"Sebenarnya tidak perlu pun memberikan manfaat kenaikan pangkat semata-mata kepada pekerja berumur kerana ada banyak pilihan yang boleh dilaksanakan majikan dalam menghargai serta memanfaatkan kemahiran kumpulan ini.
"Mempertimbangkan pelaksanaan peningkatan had umur persaraan perlu bagi mengelakkan majikan daripada melaksanakan dasar kapitalis dan mengeksploitasi pekerja sekiranya kumpulan pesara diambil semula bekerja secara kontrak atau sambilan," katanya.
Beliau menambah, masih ramai kumpulan umur tersebut yang kembali bekerja dibayar upah tidak setimpal dengan pengalaman dan kemahiran dimiliki mereka selain tidak mendapat insentif sepertimana pekerja yang belum mencapai usia persaraan.
KEKAL PRODUKTIF
Dalam tempoh 20 tahun, had umur pencen di Malaysia sudah mengalami tiga kali perubahan, bermula pada tahun 2001 apabila umur bersara penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun dan kemudian pada tahun 2008, dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun.
Perubahan sekali lagi dilaksanakan pada tahun 2012 apabila had usia persaraan dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun.
Menurut Nor Hazana, mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan masih sihat sebenarnya mampu untuk kekal produktif menyumbangkan tenaga serta kepakaran khususnya dalam bidang profesional.
"Saya bersetuju had umur persaraan dinaikkan kepada umur 65 tahun dan pekerja diberi pilihan untuk menentukan sendiri tempoh persaraan mereka. Kalau dilihat ketika ini, ramai yang pencen dipanggil bekerja semula sekali gus membuktikan khidmat mereka masih diperlukan.
"Misalnya pakar di pusat pengajian tinggi, kebanyakannya berusia lebih 60 tahun tetapi masih dijadikan tempat rujukan sebelum sesuatu keputusan atau dasar itu dibuat sama ada di peringkat organisasi mahupun kerajaan," katanya.
-- BERNAMA