Acara Walk-a-Mile cetus kesedaran jaga kesihatan jantung

Hamzah Hamid
September 27, 2015 10:32 MYT
Khairy bersama sebahagian daripada 3,000 peserta acara Walk-a-Mile Hari Jantung Sedunia 2015 di Taman Tasik Perdana. - Foto Astro AWANI/Hamzah Hamid
Jika rakyat Malaysia terus mengamalkan gaya hidup tidak sihat, negara bakal berdepan krisis kesihatan hingga pihak kerajaan dan pembayar cukai perlu menanggung kos rawatan kesihatan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, pilihan gaya hidup yang kurang sihat bukan lagi pilihan peribadi yang tidak perlu pihak kerajaan campuri kerana ia ada kesan rantaiannya.
"Sebagai sebuah negara, tahap kesihatan rakyat menyeluruh adalah petanda sebuah negara yang sihat. Menjaga kesihatan membolehkan rakyat menikmati hidup yang produktif dan bermakna.
"Lagipun penyakit jantung adalah isu besar di Malaysia. Bukan sahaja menyerang orang berusia, golongan muda juga kini berdepan dengan risiko tersebut," ujar Khairy.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan sempena merasmikan acara Walk-a-Mile Hari Jantung Sedunia 2015 di Taman Botani Perdana di ibu negara.
Melalui kajian yang dijalankan Kementerian Belia dan Sukan, didapati tahap kecergasan rakyat Malaysia hanya pada kadar 40 peratus pada tahun lalu. Metodologi kajian tersebut adalah dengan mengambil kira kekerapan melakukan riadah dan aktiviti kecergasan setiap minggu.
"Ia masih rendah berbanding rakyat di negara-negara maju yang aktif bersukan, iaitu tahap kecergasan rakyat mereka antara 60 hingga 70 peratus," ujar beliau.
Tambah Khairy, beliau juga bimbang dengan statistik rakyat Malaysia merupakan yang paling obes di Asia selain turut mencatatkan kes diabetes tinggi.
"Kita mempunyai pilihan kulinari yang terkenal dan antara terbaik di dunia. Malangnya, sebahagian daripadanya juga diakui berkalori tinggi.
"Namun itu tidak bermakna kita beralasan untuk tidak bersenam dan menjalani gaya hidup aktif serta sihat. Apa yang kita makan, perlu digunakan semula kalori dan tenaga itu," katanya.
Acara Walk-a-Mile Hari Jantung Sedunia memasuki tahun ke-14 penganjuran oleh Yayasan Jantung Malaysia dan Nestle Omega Plus. Lebih 3,000 peserta pelbagai peringkat usia telah menghabiskan aktiviti berjalan kira-kira sejauh 1.6 kilometer.
#diabetes #Hari Jantung Sedunia #jantung #kesihatan #Khairy Jamaluddin #Walk a Mile
;