8.7 juta kematian akibat bahan bakar fosil, lebih tinggi berbanding merokok - Kajian

Agensi
Februari 15, 2021 15:36 MYT
Secara purata negara di Asia Timur mencatatkan jumlah kematian paling tinggi iaitu lebih 30 peratus melibatkan orang dewasa berumur 14 tahun dan ke atas. - Gambar Pixabay
SEBANYAK 8.7 juta kematian di seluruh dunia direkodkan pada 2018 akibat pencemaran udara yang disebabkan oleh pembakaran bahan bakar fosil seperti arang batu dan minyak.
Statistik tersebut didedahkan dalam satu kajian yang dijalankan para saintis dari Universiti Harvard, University of Birmingham, University of Leicester dan University College London di England.
Menurut kajian tersebut, dianggarkan satu daripada lima orang meninggal dunia pada tahun itu, dengan angka kematian melebihi jumlah keseluruhan orang yang meninggal dunia setiap tahun akibat merokok dan malaria.
Jelas laporan itu lagi, negara-negara yang paling banyak penggunaan bahan bakar sebagai sumber jana kuasa untuk kilang, perumahan dan kenderaan mencatatkan jumlah kematian tertinggi.
Secara purata negara di Asia Timur mencatatkan jumlah kematian paling tinggi iaitu lebih 30 peratus melibatkan orang dewasa berumur 14 tahun dan ke atas.
Sementara, Eropah mencatatkan 16.8 peratus kematian diikuti Kanada dan Amerika Syarikat dengan masing-masing 13.6 peratus dan 13.1 peratus.
Jurnal Penyelidikan Persekitaran itu juga menjangkakan kadar kematian baharu adalah lebih tinggi berbanding jangkaan sebelum ini berdasarkan kepada kos kematian akibat bahan bakar fosil.
Kajian yang dilaksana adalah lebih terperinci merangkumi kesan partikel zarah jelaga yang dikeluarkan daripada tumbuh-tumbuhan, kenderaan, serta sumber lain.
Terdahulu, kajian yang diterbitkan oleh Lancet pada 2019 mendapati 4.2 juta kematian dicatatkan setiap tahun akibat pencemaran udara yang dihasilkan oleh debu dan asap kebakaran termasuk bahan bakar fosil.
#Pembakaran bahan bakar fosil #Jurnal Penyelidikan Persekitaran #Kematian akibat merokok #bahan api #University College London #University of Leicester #University of Birmingham #Universiti Harvard
;