70 acara sempena Minggu Festival KLWBC 2020

Zainal Rashid Ahmad
Mac 6, 2020 11:30 MYT
Fokus Festival KLWBC 2020 selama enam hari akan dijalankan di lapan spot utama yang digazet sebagai Lembah KLWBC 2020. - Sumber foto: KLWBC
PERSEDIAAN menuju tarikh pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020 kini memasuki fasa akhir.
Fokus ketika ini tertumpu pada 70 acara sempena Minggu Festival bermula pada 18 hingga 23 April nanti.
Selain program perasmian dengan acara kemuncak penerimaan trofi WBC pada malam 22 April, Minggu Festival ini turut dimeriahkan dengan 70 acara merangkumi pelbagai program.
Antaranya, sesi diskusi ilmiah perbukuan dan kempen pembacaan hinggalah ke acara seni jalanan.
Festival ini turut mempromosikan kalendar 365 hari KLWBC 2020 dengan pengisian lebih 300 acara yang berakhir pada April 2021.
Fokus Festival KLWBC 2020 selama enam hari ini akan dijalankan di lapan tapak utama yang digazet sebagai Lembah KLWBC 2020.
Acara utama festival akan tertumpu pada program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan pelbagai kumpulan aktivis seni.
Persediaan atur cara Malam Pengisytiharan KLWBC 2020 pada 22 April sudah 100 peratus lengkap dengan susunan tentatif program pelancaran dijangka berlangsung selama empat jam 15 minit.
Persembahan teater mega Legasi Yang Disurat - projek kerjasama antara DBKL, UiTM, Aswara dan Teater Malaysia (Tema) bakal menjadi fokus utama.
Drama ini akan dijayakan dengan pembabitkan 200 tenaga kerja termasuk pelakon, penari dan pemuzik.
Pada malam bersejarah 22 April nanti, pentas utama Dataran Merdeka turut diisi dengan rali persembahan pelbagai genre seni yang disusun bermula pada jam 8 malam.
Acara kemuncak ialah sesi penyerahan Trofi WBC.
Wakil Sharjah, UAE selaku hos WBC 19 akan menyerahkan trofi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sesi ini akan disaksikan Ketua Pengarah Pertubuhan Sains, Pendidikan dan Warisan PBB (UNESCO), Audrey Azoulay dan lebih 30 delegasi antarabangsa.
Sementara itu, kira-kira 3,000 penonton juga dijangka menghadiri acara bersejarah berkelas antarabangsa ini.
Sesi penerimaan trofi ini akan diraikan dalam suasana meriah dan bermakna sesuai dengan statusnya sebagai satu catatan sejarah baharu buat Kuala Lumpur.
Pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai hos WBC ke 20 akan dilakukan tepat pukul 12.01 pagi menjelang tarikh 23 April.
Ini bagi memenuhi syarat UNESCO yang menetapkan 23 April sebagai tarikh rasmi pengisytiharan WBC.
Tarikh 23 April diperkenalkan sejak Madrid menjadi WBC pertama pada 2001 sempena Hari Buku Sedunia.
Kuala Lumpur akan meraikan pengisytiharan WBC pada tengah malam 22 April sebagai persediaan menghormati solat tarawih pertama Ramadan tahun ini yang bermula pada malam 23 April.
Jawatankuasa Pelaksana KLWBC 2020 yang dipengerusikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, memutuskan pengisytiharan akan dibuat selepas 12 tengah malam 22 April.
Kuala Lumpur berusaha memenuhi syarat ini sebagai tanda menghormati tradisi UNESCO.
*Apa yang menarik pada Festival Pengisytiharan KLWBC 2020?
Ada lapan lokasi utama bakal mengisi 70 acara Minggu Festival KLWBC 2020.
Dataran Merdeka akan didirikan dengan khemah agam bertutup bagi menempatkan ruang pameran dan bazar aktiviti berkaitan perbukuan dan pembacaan.
Acara-acara 'indoor' turut mengisi ruang bazar dalam khemah ini mulai jam 10 pagi hingga jam 10 malam sepanjang enam hari festival diadakan.
Terdapat hampir 40 lot pameran dan perniagaan disediakan DBKL dengan pelbagai penyertaan agensi kerajaan dan aktivis perbukuan.
Lembah KLWBC 2020 (lokasi-lokasi yang digazet sebagai pusat aktiviti) turut merangkumi program di Rumah KLWBC 2020 di Jalan Tangsi, Panggung Drama DBKL, Bazar Dataran Merdeka, Pentas Mini Dataran Merdeka, Dataran Sogo dan Dataran Bukit Bintang (berdepan McDonalds).
Maskara Kambek terbitan Sindiket Soljah di bawah arahan Azlan Sinaganaga akan mengisi Pentas Mini Dataran Merdeka dengan persembahan kasual aktivis seni indiependent.
Maskara Kembek mengadakan lima set persembahan berbeza pada setiap hari mulai 18 hingga 22 April pada jam 4 hingga 6 petang.
Manakala aktivis seni dari pelbagai komuniti lain akan mengisi acara persembahan manifestasi karya buku melalui seni persembahan di jalanan.
Bagi meluaskan trafik awam menikmati pengisian festival ini, radius Lembah KLWBC 2020 diluaskan menjangkau Dataran Sogo, Pentas Mini Panggung Drama DBKL dan Dataran Bukit Bintang.
Persembahan Buku Jalanan akan berkolaborasi dengan kumpulan buskers di semua tapak terpilih selama lima hari bermula jam 2 hingga jam 4 petang.
Konsep persembahan jalanan dengan fokus mempromosi KLWBC 2020 ini turut diadakan di Dataran Bukit Bintang mulai 18 hingga 21 April bermula pukul 9 hingga 12 malam.
Fokus utama program jalanan ini turut mempromosi kalendar 300 acara KLWBC 2020 sepanjang tahun ini hingga April 2021.
Promosi di lapangan ini penting bagi meraikan warga awam ibu kota untuk ikut serta meraikan KLWBC 2020.
DBP turut menyemarakkan acara minggu festival ini dengan menyediakan 21 acara.
Antaranya, Suara Kuala Lumpur, diskusi Indie atau Arus Perdana, KLWBC Fun Run, Sesi Bersama Imuda dan Kenduri Bahasa Masjid Jamek.
PNM akan mengadakan 13 acara sepanjang festival ini. Antaranya, Pantun Kreatif, Warna-warni Jawi, Jari-jemari Kreatif, Bersama Dr. Buku: Tanya Dr. Buku dan Khat Jawi.
Acara kemuncak PNM ialah sesi Jom Baca pada 23 April nanti. Jom Baca ialah program tanda aras PNM setiap kali menjelangnya Hari Buku Sedunia.
Kali ini, acara Jom Baca akan merentasi skala lebih dinamik apabila dianjurkan di Dataran Merdeka serta disiarkan secara langsung melalui rangkaian media sosial KLWBC 2020.
Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) akan mengadakan MABOPA Bookfest @ KLWBC2020.
Acara di Bazar Dataran Merdeka ini bakal memberi peluang pada pelawat pameran festival untuk membeli buku-buku terpilih daripada rangkaian penerbit di bawah Mabopa.
DBKL selaku hos pula akan menganjurkan 16 acara mini persembahan termasuk Maskara Kambek, Buku Jalanan, Puisi Berdendang dan Muzikal Buku.
Selain itu DBKL memikul tanggungjawab utama mengendalikan pengisian Malam Pengisytiharan KLWBC 2020 pada 22 April.
Acara ini menggabungkan tiga segmen utama. Selain teater mega Legasi Yang Disurat arahan Dr Norzizi Zulkifli, acara Buku Bergendang akan turut mengisi pentas malam bersejarah itu.
Papa Rock Datuk Ramli Sarip juga akan muncul menyampaikan lagu tema KLWBC 2020 berjudul Surat Cinta Kuala Lumpur.
Uniknya, irama funky raggae lagu tema inu akan mengisi detik menjelangnya pukul 12 tengah malam pada 22 April.
Selain itu, Sasterawan Negara dan Ikon Membaca KLWBC 2020, Datuk Seri A Samad Said akan muncul di pentas mendeklamasi puisi khas.
Selepas sejam teater Legasi Yang Disurat dipentaskan dan diikuti ucapan perasmian Perdana Menteri - sesi persembahan segmen Buku Bergendang akan berlangsung selama 80 minit mulai 10.40 malam.
Slot khas Buku Bergendang ini akan diisi dengan Trio Aktor dan Trilogi Teks Monologmania arahan Adlin Aman Ramlie.
Segmen ini turut menampilkan dua ikon muda KLWBC 2020 - Jack Malik dan Aliff Awan.
#Adlin Aman Ramlie #aktivis seni #Buku Jalanan #DBKL #DBP #Ibu Kota Buku Dunia #KLWBC #KLWBC 2020 #MABOPA Bookfest #minggu festival #WBC
;