7 sebab kenapa pinangan 'ditolak'
Nabilah Fadzle
Mac 21, 2018 04:29 MYT
Mac 21, 2018 04:29 MYT
PINANGAN anda ditolak?
Itu mungkin perkara terakhir yang anda ingin dengar.
Disangka panas hingga ke petang, namun siapa sangka hujan di tengah hari adalah kata-kata tepat apabila percintaan yang diimpikan tidak membawa ke mahligai perkahwinan.
Perhatikan tujuh perkara ini, mungkin ada situasi yang kita boleh ambil iktibar dan pengajaran di masa akan datang.
1. Tidak setaraf (Sekufu)
Mungkin anda tidak sama taraf atau sekufu dengan wanita yang disunting, sememangnya ungkapan yang sering kita dengar.
Imam Muda Hassan yang juga merupakan graduan jurusan Ilmu Wahyu dan Al Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menyatakan bahawa sebab utama yang perlu diperhatikan sebelum melaksanakan sebuah pinangan ialah memastikan calon pasangan anda memiliki keserasian dari segi pemikiran, gaya hidup dan pendidikan.
“Katakanlah kalau sebelum ini calon isteri hidup dengan dibantu oleh orang gaji, maka si suami harus berusaha untuk memberikan kehidupan begitu kepada isterinya selepas mereka berkahwin," beliau memberikan contoh.
Mungkin dunia sudah berubah, namun masih ada keluarga moden hari ini yang masih mementingkan taraf.
Menurut Imam Syafie pula, perkahwinan mereka yang tidak sekufu tidaklah haram, malah sah selagi kedua-dua belah pihak bersetuju dan redha dengannya.
2. Pendidikan
Menurut Imam Muda Hassan lagi, latar pendidikan yang setaraf akan melancarkan proses komunikasi antara pasangan.
Hal ini akan mendorong kepada kesefahaman dari segi pola pemikiran seterusnya membuatkan mereka lebih secocok bagai pinang dibelah dua.
“Jika calon suami berlatarkan pendidikan yang tinggi, namun tidak bagi isteri. Mentaliti mereka mungkin tidak seiringan sehingga membuatkan mereka sukar mendapat kesefahaman, justeru pinangan sang teruna ditolak,” ujarnya lagi.
3. Paras rupa
Siapa yang tidak inginkan suami yang kacak atau isteri yang cantik, maka Imam Muda Hassan turut menggariskan paras rupa mungkin menjadi antara salah satu dalam pertimbangan penting sebelah pihak untuk mendirikan rumahtangga.
“Kecantikan adalah sesuatu yang abstrak dan itu terpulang kepada setiap orang untuk menilainya. Terdapat juga orang yang menolak pinangan kerana tidak menepati citarasa ideal pasangan hidup.
4. Wanita tidak berminat untuk berkahwin
Terdapat juga golongan wanita yang lebih selesa untuk tidak berkahwin, maka sebarang usaha untuk meminangnya akan ditolak olehnya mahupun keluarga, membuatkan si jejaka berputih mata.
Imam Muda Hassan berkata ini berkemungkinan kerana golongan ini tidak melihat relevannya untuk mendirikan rumah tangga lantaran lagi mereka sudah memiliki kerjaya dan ingin menumpukan lebih perhatian dalam menguruskan ibu dan ayahnya.
5. Penampilan
Turut diambil sebuah kisah menyentuh hati yang dikongsikan seorang pengguna media sosial di Facebooknya, “Fdaus Ahmad” mengenai cerita seorang pemuda berkasut Converse ditolak pinangan oleh seorang ustazah.
Secara ringkasnya, kisah ini bermula di sebuah universiti yang mana seorang lelaki berkemeja-T dan berseluar jeans serta berkasut Converse dikatakan telah jatuh hati kepada seorang ustazah bertudung labuh lalu meminangnya.
Namun, pinangannya ditolak atas alasan tidak berkenan dengan gaya ranggi yang ditampilkan itu, bahkan hati si ustazah sudah terpaut dengan seorang imam bersuara merdu di masjid.
Alangkah terkejutnya wanita tersebut ketika cuba masuk meminang, sang imam pilihan hatinya berkata kepada wakil ustazah, “Dulu saya pernah mempelawa dia untuk diperisterikan tetapi telah ditolaknya atas alasan cara saya berpakaian.
“Lagipun minggu depan saya akan berkahwin dengan pilihan ibu," tambahnya lagi menyebabkan si ustazah berputih mata.
Walaupun kisah ini tidak dapat dipastikan kebenarannya, apa yang lebih penting ia telah memberi kesan paling dalam di hati para pembaca bahawa penampilan tidak mencerminkan hati seseorang.
6. Dikatakan 'tidak berduit'
Contoh lainnya, dipetik dari portal Hijabista mengenai pengalaman seorang penyanyi dan pemuzik kumpulan rock Malaysia yang dikenali sebagai Noh Hujan atau nama sebenarnya Mohammed Noh Salleh.
Noh berkata dia pernah ditolak pinangannya oleh teman wanitanya kerana dikatakan tidak berduit.
Semuanya berlaku sebelum beliau bergelar suami kepada penyanyi terkenal, Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman.
Insiden pinangannya ditolak banyak mendewasakan Noh.
“Saya tidak mampu menjanjikan awak kemewahan, tetapi saya akan pimpin awak ke jalan Allah," janji Noh dalam kesungguhan ketika ingin memperisterikan wanita yang didambanya, Mizz Nina yang kini sah bergelar suri hati hidupnya.
Dalam hidup, harus kita tahu kehidupan yang mewah tidak menjamin kebahagiaan, cukuplah sekadar kehidupan yang sederhana asalkan bahagia bersama pasangan tercinta.
7. Risau tidak mampu tunai hak suami
Kisah terakhir ini dipetik daripada artikel yang ditulis penceramah bebas, ustazah Fatimah Syarha, bertajuk, "Pinangan lelaki teragung ditolak".
Pada zaman nabi yang mana Nabi Muhammad S.A.W telah melamar seorang janda dari bani makhzum, Fakhitah binti Abi Thalib, yang digelar sebagai Ummu Hani.
Namun telah ditolak secara halus oleh Ummu Hani kerana risau tidak mampu menunaikan hak-hak suami kerana sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu kepada empat orang anak.
“Ya Rasulullah, sungguh dirimu lebih saya cintai daripada pendengaran dan penglihatan saya. Namun, saya seorang wanita yang sangat kuat cemburu. Tambahan lagi, jika saya mengurusi anak-anak, saya khuatir akan mengabaikan hak suami," kata Ummu Hani.
Rasulullah menghormati pandangannya. Baginda kemudiannya memberikan pandangan, “Sesungguhnya sebaik-baik wanita yang naik unta adalah wanita dari kaum Quraisy. Mereka paling sayang kepada anak-anaknya di waktu kecil, dan paling memperhatikan urusan suami.”
Pandangan-pandangan daripada pakar dan kisah-kisah menyentuh hati di atas diharapkan dapat dijadikan panduan dan membuka mata kita dalam urusan memilih jodoh dan berfikir semasak-masaknya sebelum menghantar rombongan meminang.
Bagaimanapun harus kita ingat, dalam hidup ini bukan setiap masa kita boleh memilih. Sering kali kita tersepit dan harus pasrah dengan takdir.
Apa pula pandangan anda? Anda ada pengalaman pinangan ditolak atau mengenali mereka yang mengalaminya.
Kongsi pandangan anda bersama Astro AWANI.
#ditolak
#Facebook
#Islam
#kewangan
#paras rupa
#pendidikan
#perkahwinan
#pinangan
#punca
#sekufu
#tanggungjawab
#wanita