7 fakta menarik tentang Earth Hour

Agensi
Mac 26, 2022 15:30 MYT
Pada 2018, Earth Hour berlangsung di 188 negara dan wilayah yang memecahkan rekod, dengan kira-kira 17,900 mercu tanda mengambil bahagian. - REUTERS/Bobby Yip
EARTH Hour yang berlangsung pada Sabtu bertujuan menggalakkan individu, perniagaan dan kerajaan mengambil tanggungjawab terhadap jejak ekologi serta terlibat dalam dialog dan pertukaran sumber yang menyediakan penyelesaian kepada cabaran alam sekitar.
Acara itu yang dianjurkan oleh World Wide Fund for Nature (WWF) disambut setiap tahun sebagai simbol komitmen terhadap planet ini. Pada hari ini, orang ramai akan mematikan lampu elektrik yang tidak perlu selama satu jam, dari 8:30 hingga 9:30 malam.
Ini adalah tujuh fakta menarik mengenai Earth Hour:
1. Pada 2018, Earth Hour berlangsung di 188 negara dan wilayah yang memecahkan rekod, dengan kira-kira 17,900 mercu tanda mengambil bahagian. Kempen Earth Hour 2018 menyaksikan #EarthHour dan #Connect2Earth trending topic di Twitter di 33 buah negara.
2. Mercu tanda seperti Menara Eiffel, Sydney Opera House, Bangunan Empire State, The Great Pyramids, Burj Khalifa, Big Ben dan Colosseum turut mengambil bahagian dalam Earth Hour.
3. Pada tahun 2013, cawangan WWF Uganda membeli Hutan Earth Hour pertama di dunia dalam usaha untuk memerangi kadar penebangan hutan semasa. Sejak itu, badan amal tersebut telah melindungi lebih 2,700 hektar tanah dengan tujuan penanaman semula 500,000 pokok.
4. Spider-Man merupakan adiwira pertama yang menjadi duta global untuk Earth Hour pada tahun 2014, membawa perhatian yang amat diperlukan dan jangkauan global untuk kempen Earth Hour.
5. Pada tahun 2020, Earth Hour dijalankan digital sepenuhnya buat kali pertama di UK. Selain mematikan lampu, orang ramai berhubung dalam talian dengan menyertai pelbagai acara digital dan penstriman secara langsung selama sejam.
6. Pada tahun 2021, buat pertama kalinya, WWF menggalakkan ‘Earth Hour Virtual Spotlight’. Matlamatnya adalah untuk mendapatkan seramai mungkin orang awam untuk berkongsi video yang dimuat naik di saluran media sosial Earth Hour.
7. Pada tahun 2020, Filipina mengurangkan penggunaan elektrik mereka semasa Earth Hour sebanyak 611MWj. Ini secara kasarnya diterjemahkan kepada jumlah tenaga yang sama yang digunakan oleh dua belas loji jana kuasa arang batu dalam satu jam.
#Earth Hour #alam sekitar #tenaga elektrik #WWF
;